Saat orang lain berhibur, ribuan pengunjung bermuhasabah di PICC… Sambut tahun baharu bersama TV AlHijrah
DI saat kebanyakan sambutan ambang tahun baharu lazimnya dipenuhi hiburan dengan sorakan tanpa henti, suasana di Putrajaya International Convention Centre (PICC) malam tadi tampil berbeza apabila ribuan pengunjung memilih untuk menyambut dengan alunan selawat, nasyid dan muhasabah diri menerusi Konsert Malam Hijrah Bergema anjuran TV AlHijrah.
Program berskala besar itu berjaya menyatukan masyarakat pelbagai lapisan dan generasi dalam satu ruang yang tenang, tertib dan penuh penghayatan, sekali gus membuktikan pendekatan seni berteraskan dakwah mampu menarik minat khalayak secara meluas, termasuk golongan muda dan keluarga.
Konsert ini turut diserikan dengan kehadiran barisan kepimpinan negara dan institusi agama, antaranya Timbalan Ketua Setiausaha (TKSUK) Jabatan Perdana Menteri (JPM), Ahli Lembaga Pengarah TV AlHijrah serta Ketua-ketua Agensi Hal Ehwal Agama, mencerminkan sokongan padu terhadap usaha memartabatkan seni sebagai medium dakwah kontemporari.
Seawal pintu dibuka, kawasan PICC dibanjiri pengunjung yang hadir bersama ahli keluarga dan rakan-rakan. Kehadiran pelbagai generasi dalam satu acara rohani berskala besar ini mencipta gambaran jelas bahawa masyarakat semakin terbuka terhadap hiburan Islamik yang mendidik, inklusif dan berteraskan nilai.
Alunan nasyid, selawat dan lagu-lagu kerohanian bergema menyentuh jiwa, mewujudkan suasana kebersamaan yang jarang disaksikan khususnya pada malam ambang tahun baharu. Ia sekali gus mencabar persepsi bahawa sambutan tahun baharu hanya sinonim dengan hiburan kosong semata-mata.
Konsert Malam Hijrah Bergema menampilkan barisan artis tersohor seperti Rabbani, Raihan, UNIC, Hijjaz, Lah Ahmad, Mawi, Sufian Suhaimi serta Munsyid Muda (Simfoni, Rabithah, Fine, Aeydan, Onepath, Andika).


Turut mencuri perhatian ialah kemunculan penyanyi legenda Datuk Hattan, Datuk’ Jamal Abdillah dan Datuk Nash yang membawakan karya-karya sarat mesej dakwah dan kemanusiaan antaranya Pergi Tak Kembali, Intifada, Kasih Kekasih, Nurkasih, Pada Syurga Di Wajahmu, Mahligai Syahdu, Ghazal Untuk Rabiah dan Kian.
Setiap persembahan disusun secara naratif, membawa penonton menyelami makna hijrah bukan sekadar perubahan luaran, tetapi penghijrahan jiwa, pemikiran dan akhlak.

Kemuncak konsert menyaksikan seluruh dewan bangkit mengalunkan selawat dan lagu-lagu bertemakan hijrah, mencipta detik simbolik menyambut tahun baharu dengan doa, keinsafan dan azam memperbaiki diri.
Reaksi emosional penonton jelas memperlihatkan kekuatan seni sebagai bahasa dakwah yang mampu menyentuh hati dan menyatukan masyarakat.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris, Konsert Malam Hijrah Bergema bukan sekadar hiburan, sebaliknya sebuah platform dakwah kontemporari yang selari dengan realiti dan keperluan masyarakat hari ini.
“Kami melihat seni sebagai bahasa masa depan dakwah. Apabila mesej Islam disampaikan dengan hikmah, kreativiti dan keindahan, ia mampu menyentuh hati, membina pemikiran dan menyatukan generasi.
“Inilah visi TV AlHijrah iaitu memimpin perubahan melalui kandungan yang relevan, berjiwa dan berdaya saing,” katanya.

Beliau menegaskan, hijrah yang diketengahkan menerusi konsert ini adalah hijrah menyeluruh melibatkan jiwa, akhlak dan cara berfikir.
Sambutan luar biasa yang diterima membuktikan masyarakat bersedia menerima pendekatan dakwah yang lebih segar, progresif dan berteraskan nilai.
TV AlHijrah turut melihat penganjuran Konsert Malam Hijrah Bergema sebagai inisiatif jangka panjang, dengan hasrat menjadikannya acara tahunan bagi menghidupkan pengisian rohani sempena ambang tahun baharu.
Rata-rata pengunjung menyifatkan konsert ini sebagai pengalaman yang mendamaikan dan memberi inspirasi, selain menawarkan alternatif bermakna untuk menyambut tahun baharu bersama keluarga dalam suasana beradab dan selamat.
Dari segi penganjuran, program ini berjalan lancar dengan kawalan keselamatan yang teratur serta kerjasama pelbagai agensi dan sukarelawan.

Menutup tirai Konsert Malam Hijrah Bergema, pihak penganjur merakamkan penghargaan kepada semua artis, rakan strategik, agensi terlibat dan pihak media atas sokongan berterusan dalam memperkasa dakwah melalui seni.
Di mana seni juga merupakan satu pendekatan yang dilihat semakin relevan dan mendapat tempat di hati masyarakat. – THE VOKAL