Shahidan gesa DAK dibawa pulang, persoal transaksi RM53 juta
KERAJAAN digesa mengambil tindakan segera bagi membawa pulang tiga ekor gajah Malaysia, Dara, Amoi dan Kelat (DAK) yang kini ditempatkan di Zoo Tennoji, Osaka, Jepun susulan kebimbangan terhadap keadaan kesihatan dan kebajikan haiwan berkenaan.
Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, satu laporan bebas daripada pakar veterinar perlu disediakan bagi menilai keadaan sebenar DAK, termasuk dakwaan bahawa haiwan berkenaan tidak mendapat penjagaan sewajarnya.
Menurutnya, keadaan Kelat yang dilaporkan mengalami penurunan berat badan serta kerap mengalami penyakit musth menimbulkan persoalan sama ada persekitaran dan cuaca di Jepun sesuai untuk gajah berkenaan.
“Kita dapati berat badan Kelat menurun dan sering mengalami penyakit musth mungkin disebabkan keadaan atau cuaca yang tidak sesuai.
“Kita minta satu laporan bebas daripada veterinar berhubung dengan isu DAK,” katanya ketika membahaskan isu berkenaan di Dewan Rakyat baru-baru ini.
Dalam pada itu, Shahidan turut mempersoalkan perkembangan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan penahanan beberapa individu dan seorang pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) pada 19 Julai lalu yang dikaitkan dengan isu DAK.
Beliau turut membangkitkan dakwaan transaksi berjumlah RM53 juta dan meminta penjelasan mengenai status tangkapan berkenaan serta tindakan kerajaan setakat ini.
“Jadi saya nak tanya apa jadi kepada tangkapan itu dan apa tindakan kerajaan yang diambil untuk membawa pulang DAK ke Malaysia,” katanya.
Shahidan berkata, gesaan membawa pulang ketiga-tiga gajah itu turut disuarakan pelbagai pihak pada Oktober lalu, termasuk pakar gajah antarabangsa, Dr Keith Lindsay yang mencadangkan supaya DAK dikembalikan ke Malaysia.
Beliau turut menggesa Kementerian memberi perhatian serius terhadap isu pemuliharaan hutan dengan bukan sahaja melindungi kawasan sedia ada, malah menambah keluasan kawasan hutan.
Katanya, hutan bukan sekadar warisan negara, sebaliknya memainkan peranan penting dalam memelihara ekosistem serta menyumbang kepada sektor pelancongan.
“Tidak sahaja kawasan hutan dipulihara, tetapi tambah lagi kawasan hutan kerana hutan ini bukan sahaja warisan, malah penting untuk negara dan sektor pelancongan,” katanya.
Terdahulu, isu kebajikan DAK terus menjadi perhatian pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan aktivis haiwan yang menyuarakan kebimbangan terhadap keadaan hidup ketiga-tiga gajah berkenaan sejak dipindahkan dari Zoo Taiping, Perak ke Zoo Tennoji di Osaka.
Mereka berpandangan gajah yang berasal dari habitat tropika lebih sesuai ditempatkan dalam persekitaran semula jadi di Malaysia.
Sebelum ini, SPRM mengesahkan pembukaan kertas siasatan berhubung pemindahan DAK dengan mendapatkan keterangan daripada beberapa agensi awam termasuk Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) serta PERHILITAN. – THE VOKALĀ