Malaysia-Perancis buka lembaran baharu, hubungan dinaik taraf kepada Perkongsian Strategik
MALAYSIA dan Republik Perancis melakar satu lagi perkembangan penting dalam hubungan diplomatik apabila kedua-dua negara bersetuju meningkatkan hubungan dua hala kepada Perkongsian Strategik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peningkatan hubungan itu menjadi mercu tanda penting menjelang sambutan ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik Malaysia dan Perancis pada tahun depan.
“Kami kemudiannya mengetuai delegasi negara masing-masing dalam mesyuarat dua hala sambil mempertegaskan iltizam untuk memperkukuh hubungan Malaysia dan Republik Perancis serta mengangkat kerjasama ke tahap yang lebih tinggi,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Menurut Anwar, perbincangan memberi tumpuan kepada usaha memperluas kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, industri pertahanan, teknologi tinggi, kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, mineral kritikal serta peralihan tenaga.
Kerjasama dalam bidang pendidikan dan pembangunan bakat turut menjadi antara agenda perbincangan, selain mempererat hubungan kebudayaan menerusi pertukaran kesusasteraan dan pemikiran falsafah, termasuk warisan intelektual tokoh tersohor Perancis, Victor Hugo.
Dalam pada itu, Anwar berkata, Malaysia mengalu-alukan lebih banyak pelaburan berkualiti dari Perancis, khususnya dalam sektor berpotensi tinggi yang mampu memacu pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan daya saing negara.
“Malaysia juga mengalu-alukan lebih banyak pelaburan berkualiti daripada Perancis, khususnya dalam sektor berpotensi tinggi yang mampu memacu pertumbuhan ekonomi, meningkatkan daya saing negara dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan bernilai tinggi kepada rakyat,” katanya.
Kedua-dua negara turut menyentuh perkembangan geopolitik serantau dan antarabangsa, khususnya tragedi kemanusiaan di Palestin serta konflik di Ukraine.
Anwar menegaskan keperluan mendesak untuk menamatkan konflik, menegakkan keadilan dan menghormati undang-undang antarabangsa.
Beliau turut menyuarakan keyakinan bahawa hubungan persahabatan yang sekian lama terjalin antara Malaysia dan Perancis akan terus diperkukuh.
“Saya menaruh sepenuh keyakinan bahawa persahabatan yang sekian lama terjalin ini akan terus diperkukuh, sekali gus membawa manfaat nyata kepada rakyat dan menyumbang kepada kemakmuran kedua-dua negara,” katanya.
Terdahulu, Anwar bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selamat tiba di Manila, Filipina bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-49 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan yang berlangsung dari 15 hingga 17 November.
Anwar berkata, penyertaan Malaysia dalam persidangan itu merupakan platform penting untuk memperkukuh hubungan serantau serta mengangkat kepentingan bersama negara-negara ASEAN. – THE VOKALĀ