Pelancong kini boleh nikmati transaksi tanpa tunai menerusi kad khas Visit Malaysia 2026–2027
PELANCONG antarabangsa yang berkunjung ke Malaysia kini mempunyai pilihan baharu untuk menguruskan perbelanjaan sepanjang percutian menerusi pengenalan Kad Prabayar Visa Merchantrade Money edisi khas Visit Malaysia 2026–2027.
Inisiatif hasil kerjasama Tourism Malaysia dan Merchantrade Asia Sdn. Bhd. itu bertujuan memperluas penggunaan pembayaran digital, sekali gus memberikan pengalaman perjalanan lebih mudah dan lancar kepada pengunjung dari luar negara.



Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim berkata, kerjasama strategik antara sektor awam dan swasta mampu memberikan nilai tambah kepada pelawat serta merancakkan pertumbuhan industri pelancongan negara.

Menurutnya, usaha berkenaan juga selari dengan aspirasi kempen Tahun Melawat Malaysia 2026–2027 (VM2026–2027) dalam memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama dunia.
“Kerjasama kami dengan Merchantrade membuktikan bagaimana perkongsian rentas sektor mampu mewujudkan nilai tambah kepada pelawat, perniagaan dan keseluruhan ekosistem ekonomi pelancongan,” katanya.
Kerjasama itu dimeterai menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang menyaksikan kedua-dua pihak berganding bahu memperkenalkan kemudahan pembayaran digital khusus untuk pelancong.
Majlis pelancaran disempurnakan Mohd Amirul Rizal, manakala pertukaran dokumen MoU dilakukan bersama Pengasas merangkap Pengarah Urusan Merchantrade, Ramasamy K. Veeran.
Kad prabayar berkenaan dilengkapi dompet elektronik pelbagai mata wang dan menyokong transaksi menerusi rangkaian Visa serta DuitNow QR di seluruh negara.

Lebih menarik, pengguna turut boleh menikmati kemudahan pembayaran tanpa sentuh melalui Google Wallet dan Samsung Wallet, selain akses kepada mesin pengeluaran wang automatik (ATM) serta mesin deposit tunai (CDM) Visa di seluruh dunia.
Pelancong boleh mendapatkan kad berkenaan sebaik tiba di Malaysia menerusi rangkaian cawangan Merchantrade di seluruh negara, termasuk di Pavilion Kuala Lumpur, The Gardens Mid Valley Mall dan Imago Mall, Sabah.
Bagi memperluas capaian kepada pasaran antarabangsa, kad serta aplikasi Merchantrade Money turut akan dipromosikan menerusi 29 pejabat Tourism Malaysia di luar negara, termasuk London, Dubai, Seoul, Osaka, Sydney dan Jeddah.
Pemegang kad juga berpeluang menikmati pelbagai diskaun serta keistimewaan di premis perniagaan rakan kerjasama Tourism Malaysia yang merangkumi hotel, pusat beli-belah, pengangkutan, restoran, tarikan pelancongan dan pasar tempatan.
Inisiatif itu bukan sahaja menyasarkan pelancong antarabangsa, malah menyokong kempen pelancongan domestik Cuti-Cuti Malaysia dengan menyediakan kemudahan pengurusan perbelanjaan lebih praktikal kepada pengembara tempatan.
Sementara itu, Ramasamy berkata, sektor pelancongan merupakan antara pemacu penting pertumbuhan ekonomi negara dan kemudahan pembayaran digital mampu menghubungkan pelawat dengan perniagaan tempatan secara lebih lancar.
Katanya, Merchantrade berbangga dapat memperkenalkan kad rasmi VM2026–2027 bersama ekosistem pembayaran digital yang membolehkan pelawat dari seluruh dunia berbelanja dengan lebih mudah sepanjang berada di Malaysia.
Malaysia merekodkan 32.3 juta ketibaan pelawat antarabangsa bagi tempoh Januari hingga September 2026, meningkat 2.4 peratus berbanding 31.5 juta ketibaan dalam tempoh sama tahun lalu.
Kerjasama berkenaan diharap dapat meningkatkan keselesaan pelancong sepanjang berada di negara ini, sekali gus menyokong aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai destinasi pilihan dunia menerusi slogan ‘Malaysia, Indah Milik Anda’ (Malaysia, Beautifully Yours).
Maklumat lanjut mengenai kad, aplikasi, pendaftaran dan keistimewaan yang ditawarkan boleh diperoleh menerusi www.merchantrademoney.com/visitmalaysia2027/. – THE VOKAL