Capchem rancang kilang kedua di Kulim, tiga syarikat China intai pelaburan baharu
KULIM Hi-Tech Park, Kedah berpotensi menyaksikan peluasan operasi industri teknologi tinggi apabila syarikat China, Shenzhen Capchem Technology sedang meneliti cadangan pembinaan kilang kedua bagi meningkatkan kapasiti pengeluarannya di Malaysia.
Perancangan itu antara perkembangan yang dibincangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi pertemuan dengan empat syarikat utama China dalam sektor teknologi tinggi pada hari kedua lawatan kerjanya di Shenzhen.
Menurut Anwar, Capchem yang sudah beroperasi di Kulim Hi-Tech Park sedang mempertimbangkan peluasan kapasiti bagi memenuhi keperluan pasaran Asia Tenggara.
“Capchem Technology, yang telah beroperasi di Kulim Hi-Tech Park, Kedah, sedang meneliti cadangan pembesaran kapasiti pengeluaran melalui pembinaan kilang kedua bagi memenuhi keperluan pasaran Asia Tenggara,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Selain Capchem, tiga lagi syarikat yang mengadakan perbincangan dengannya ialah Shenzhen Mindray Bio-Medical Electronics, Guangzhou Tinci Materials Technology dan XTC New Energy Materials (Xiamen).
Mindray, misalnya, sedang meneroka peluang membangunkan fasiliti pembuatan atau hab perkhidmatan peranti perubatan di Malaysia.
Anwar berkata, perancangan itu turut merangkumi potensi kerjasama dengan pengilang dan pembekal komponen tempatan.
“Mindray sedang meneroka peluang untuk membangunkan fasiliti pembuatan atau hab perkhidmatan peranti perubatan di Malaysia, termasuk kerjasama dengan pengilang dan pembekal komponen tempatan,” katanya.
Dalam sektor bahan termaju dan industri bateri pula, Tinci Materials bercadang menghasilkan elektrolit serta bahan kimia khusus bagi bateri litium-ion.
Sementara itu, XTC New Energy Materials merancang pelaburan dalam pembuatan bahan katod bateri litium-ion di Selangor.
Bagaimanapun, Anwar menegaskan bahawa tumpuan kerajaan bukan sekadar menarik pelaburan asing, sebaliknya memastikan syarikat tempatan turut mendapat peluang menyertai perkembangan industri berkenaan.
Katanya, aspek pemindahan teknologi serta pembangunan bakat dan kepakaran teknikal juga menjadi antara perkara yang diberi perhatian dalam perbincangan itu.
“Saya turut memberi tumpuan kepada peluang penglibatan syarikat tempatan dalam rantaian bekalan, pemindahan teknologi serta pembangunan bakat dan kepakaran teknikal,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia komited menarik pelaburan berkualiti tinggi yang mampu memberikan manfaat kepada ekonomi negara dan rakyat.
“Malaysia komited tegas menarik pelaburan berkualiti tinggi yang tidak hanya memacu pertumbuhan ekonomi, malah membawa manfaat yang bermakna kepada negara dan rakyat,” katanya.
Anwar turut menegaskan bahawa keutamaan kerajaan adalah memastikan pelaburan berkenaan mampu memperkukuh industri tempatan, meningkatkan daya saing syarikat Malaysia serta mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkualiti.
“Keutamaan kita adalah memastikan pelaburan ini mampu serta berupaya memperkasa industri tempatan, meningkatkan daya saing syarikat Malaysia, mempercepat pemindahan teknologi serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti dan berkemahiran tinggi,” katanya.
Usaha itu selari dengan aspirasi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP).
Terdahulu, Anwar berada di Shenzhen, wilayah Guangdong, bagi menghadiri Minggu Pemimpin Ekonomi APEC (AELW) ke-33 yang berakhir hari ini.
APEC merupakan forum antara kerajaan yang menghimpunkan 21 ekonomi anggota bagi menggalakkan perdagangan bebas dan kerjasama ekonomi di rantau Asia-Pasifik.
Rantau berkenaan merangkumi hampir 40 peratus populasi dunia, hampir separuh perdagangan global serta lebih 60 peratus daripada ekonomi dunia.
Malaysia merupakan antara 12 anggota pengasas APEC bersama Australia, Brunei, Kanada, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, New Zealand, Amerika Syarikat, Filipina, Singapura dan Thailand. – THE VOKAL