Disaksikan 65,000 Peminat, Siti Nurhaliza Sumbang RM1 Juta Kepada Yayasan Nurjiwa
Kejayaan Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza pada 10 Januari baru-baru ini, bukan sekadar diraikan menerusi sorakan peminat, sebaliknya turut diterjemahkan dalam bentuk kebajikan.
Apa yang istimewa dan menjadi inspirasi, Biduanita Negara itu menyumbangkan RM1 juta kepada Yayasan Nurjiwa hasil jualan tiket konsert berkenaan.
Pengumuman mengenai sumbangan itu dibuat menerusi sebuah video yang ditayangkan sebelum konsert di Stadium Nasional Bukit Jalil itu bermula.
Kira-kira 65,000 peminat membanjiri stadium demi menonton persembahan penyanyi nombor satu negara itu.
Kali terakhir Siti atau nama lengkapnya Siti Nurhaliza Tarudin, 47, mengadakan konsert solo di stadium terbesar negara itu adalah pada tahun 2004 menerusi Konsert Siti Nurhaliza Fantasia Tour.
Siti menyampaikan lebih 40 buah lagu menerusi empat segmen berbeza yang menceritakan perjalanan karier seninya selama tiga dekad.
Antara lagu popular yang didendangkannya adalah Purnama Merindu, Percayalah, Bukan Cinta Biasa, Nirmala, Balqis, Kesuma, Rencong, Diari Hatimu, Bicara Manis Menghiris Kalbu, Kau Mawarku dan banyak lagi.
Siti turut berduet bersama empat penyanyi undangan iaitu Umairah, Hafiz Suip, Noh Salleh dan penyanyi dari Indonesia, Cakra Khan.
Turut diundang untuk membuat persembahan dengannya ialah bintang kelahiran program Talk To My Manager iaitu Auddra atau Oddah yang menjadi penari latarnya menerusi persembahan lagu Destinasi Cinta. – THE VOKAL