
Gara-gara Makar Fest, Issey sanggup masuk penjara kempen anti buli
TEATER memainkan peranan penting dalam mengingatkan masyarakat tentang jati diri dan memupuk semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda.
Bersesuaian dengan sambutan Hari Kebangsaan 2025 dan atas rasa tanggungjawab sosial, selebriti popular Issey Fazlisham bawa pementasan teater, Teater Dalam Penjara sempena Makar Fest pada 30 Ogos ini di KotaJail, Johor Bahru.
Issey yang juga orang kuat Makar Fest anjuran bersama Red Bean Productions berkata, pemilihan naskhah arahan Sabri Yunus itu adalah tepat bagi menyemarakkan lagi rasa cintakan negara.
Menurutnya, teater yang sarat dengan mesej positif itu mampu menaikkan lagi semangat patriotisme para pengunjung yang hadir.
“Dalam Makar Fest kali ini, kelainan yang saya bawakan adalah pementasan teater yang bertajuk Teater Dalam Penjara sebenar yang pertama di Malaysia.
“Apa yang menarik, teater ini dipentaskan betul-betul dalam penjara iaitu di KotaJail. Mungkin ada yang belum tahu, KotaJail merupakan penjara ke 4 tertua di Malaysia yang berusia lebih 100 tahun yang dahulunya menempatkan ramai banduan.
“Bayangkan, kami pentaskan teater tersebut dalam penjara yang kini dinaiktaraf sebagai tempat pelancongan yang baru di Johor Bahru.
“Jadi, orang ramai yang datang ke Makar Fest dan menonton teater ini boleh merasai sendiri perasaan dan pengalaman bagaimana banduan duduk dalam penjara,” katanya.

Menurut Issey, teater ini sangat bertepatan dengan objektifnya mahu menyuntik semangat cintakan negara menerusi mesej-mesej positif.
“Banyak mesej positif yang kami mahu sampaikan dalam teater tersebut.
” Antaranya adalah siapa yang melakukan kesalahan, pasti akan terima hukuman. Salah tetap salah.
“Jadi teater ini boleh didik diri kita supaya jangan buat salah. Kalau langgar undang-undang, pasti akan dihukum atau dipenjarakan.
“Bagi saya, sebagai selebriti malah sesiapa sahaja rakyat Malaysia perlu saling mengingati antara satu sama lain untuk sentiasa ikut undang-undang negara kerana itulah tanda semangat patriotik, sayang dan cintakan negara.
“Apabila kita sayangkan negara, pasti kita takkan buat sesuatu yang memalukan atau mencalarkan nama negara.
“Saya selalu ingatkan diri sendiri dan juga orang lain, bahawa kita jangan fikir apa sumbangan negara kepada kita, tetapi kita fikir dahulu apa sumbangan kita kepada negara.
“Jadi apabila kita buat baik, ia juga adalah satu sumbangan kita kepada negara. Apa sahaja kebaikan. Macam saya pula merealisasikan kebaikan itu dengan menganjurkan pelabagi program bermanfaat di Makar Fest,” ujarnya.
Seiring dengan isu semasa, Makar Fest juga bakal menganjurkan Kempen Anti Buli yang semakin menjadi bualan dalam masyarakat kita.
“Kempen ini sebenarnya salah satu tanda kita semua sayangkan negara. Iyalah, buli adalah satu jenayah yang semakin berleluasa sekarang ini.
“Apalah erti kemerdekaan jika kita masih dibelenggu jenayah buli. Jadi, kempen ini mahu mengajak orang ramai katakan tidak kepada buli, itu bukan budaya kita.
“Di Makar Fest, khalayak kita adalah keluarga dan orang muda. Suara orang muda ini penting kerana merekalah penyambung generasi akan datang.
“Kami akan tunjukkan bahawa kami sebagai penganjur dan masyarakat yang datang itu betul-betul benci dengan buli.
“Jadi, kami berharap bukan sahaja orang Johor, malah orang ramai dari negeri lain juga boleh datang untuk kita sama-sama meraikan erti merdeka, di samping menyertai program menarik sepanjang Makar Fest berlangsung,” tambahnya lagi.
Makar Fest di KotaJail, Johor Bahru, akan bermula pada 29 Ogos dan berakhir pada 1 September 2025.
Selain teater, aktiviti-aktiviti lain yang diadakan adalah seperti Break the Silence (Rap,Dance & Grafiti Show), Malam Kebudayaan Makar Fest, Pesta Makar Fest (Indie Band), Family Got Talent, pertandingan mewarna wau bulan dan banyak lagi.
Sebagai info, selepas beberapa tahun terbiar, KotaJail yang dulu dikenali sebagai Penjara Ayer Molek yang berusia 147 tahun telah berubah wajah menjadi destinasi pelancongan baharu di Johor Bahru yang dikendalikan oleh jenama JOHO.
Bangunan tersebut menyimpan pelbagai cerita penghuni di sebaliknya, sudah dibuka secara rasmi pada 14 Mac lalu sebagai tarikan pelancong yang baharu dengan mengekalkan stuktur asalnya. – THE VOKAL