Perang Festival Raya: Orang Dijangka Serbu, Beli-Belah Saat Akhir… Khai Bahar, Aina, Ernie ‘gegar’ Gema Raya Putrajaya 2026
Lebih kurang seminggu lagi menyambut Aidilfitri, suasana dijangka meriah apabila orang ramai mengambil kesempatan hujung minggu ini untuk membuat persiapan akhir hari raya.
Apa yang pasti, festival-festival raya yang diadakan di ibu kota semakin sibuk dan rancak menjelang hari-hari terakhir Ramadan.

Senario ini juga menunjukkan orang ramai lebih gemar membuat pembelian saat akhir persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri kerana rata-rata pengunjung memilih festival itu kerana kepelbagaian pilihan, harga berpatutan serta tawaran diskaun menarik yang ditawarkan peniaga.
Antara festival raya yang dijangka menjadi pilihan orang ramai adalah Absolut Bazaar X Festival Gaya Raya 2025 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Anjung Syawal di Putrajaya dan Gema Raya Putrajaya 2026@PICC di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putra Jaya.

Bagi penganjur acara festival raya, Rayme Zainal berkata, budaya kunjungan ke festival raya di saat akhir setiap tahun sudah menjadi tradisi orang ramai bagi merasai sambutan Aidilfitri.
Kata beliau, kehadiran pengunjung sama sama bersama keluarga atau rakan-rakan ibarat satu kemestian apatah lagi membeli belah di saat akhir terdapat banyak diskaun yang disediakan peniaga.
“Kita kena akui orang ramai jarang hadir atau berkunjung pada minggu pertama dan kedua Ramadan apatah lagi sekiranya sesuatu festival raya itu berlangsung untuk tempoh lama selama sebulan.
“Pada masa sama, ada juga mengambil peluang diskaun dan promosi di akhir Ramadan serta hari gaji yang menjadi punca orang ramai membuat pembelian di saat akhir untuk menyambut Aidilfitri di samping boleh berjimat untuk perbelanjaan lain,” katanya yang merupakan penganjur acara Gema Raya Putrajaya 2026@PICC selama 33 hari.
Kata Rayme lagi, sebagai penganjur acara beliau juga mengatur strategi apabila menampilkann kemunculan istimewa beberapa artis popular tanah air sebagai tarikan kepada pengunjung di minggu terakhir Ramadan.
Ujarnya, festival yang bermula 15 Februari lalu hingga malam raya ini dirancakkan dengan kemunculan Aina Abdul, Ernie Zakri dan Khai Bahar.
Apa yang menarik, kesemua mereka adalah bekas finalis yang pernah berentap di pentas berprestij Anugerah Juara Lagu (AJL).
“Kehadiran barisan artis popular ini dijangka menjadi tarikan utama lagi kepada pengunjung untuk hadir dan membeli-belah sempena menyambut Ramadan dan perayaan Aidilfitri sepanjang tempoh 33 hari penganjuran selain pengisian kerohanian dan seni budaya.
“Pembabitan artis yang pernah memenangi pelbagai anugerah dilihat sebagai penanda aras kelangsungan dan kejayaan penganjuran festival raya ini pada masa akan datang.
“Sebagai penganjur, kami mahu memberikan yang terbaik kepada semua pihak terutama kepada usahawan yang berniaga, dalam usaha menarik lebih ramai pengunjung ke PICC,” katanya. – THE VOKAL