Siti Nurhaliza terus martabatkan muzik tradisional Melayu menerusi Gema Bumantara
BIDUANITA Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza sekali lagi memperkukuh kedudukannya sebagai ikon seni tanah air dengan pelancaran album tradisional terbaharunya berjudul Gema Bumantara.
Judul Gema Bumantara membawa makna yang mendalam dan simbolik melambangkan suara warisan Melayu yang terus bergema ke seluruh alam, merentasi masa dan generasi.
Album ini merupakan sebuah karya yang mengangkat keindahan muzik tradisional Melayu dan digabungkan dengan elemen muzik kontemporari yang segar serta berjiwa.
Gema Bumantara juga merupakan kesinambungan daripada siri album tradisional terdahulu yang telah menjadi tanda aras dalam perjalanan seni beliau, seperti Cindai, Sahmura, Sanggar Mustika dan Lentera Timur.
Menurut Siti Nurhaliza, Gema Bumantara adalah manifestasi cinta beliau terhadap warisan muzik tradisional dan tanda tanggungjawabnya untuk terus memperkasa irama warisan bangsa agar tidak dilupakan oleh generasi baharu.
Melalui Gema Bumantara, Siti berhasrat untuk mengangkat kembali keindahan muzik tradisional Melayu agar terus hidup dan dihargai dalam konteks muzik moden.
“Album tradisional sentiasa mempunyai tempat istimewa di hati saya. Semoga Gema Bumantara menjadi hadiah buat semua pencinta muzik warisan dan terus mengalunkan keindahan irama Melayu kepada seluruh dunia.
“Saya juga menjadikan ini sebagai salah satu tanggungjawab saya dalam bidang seni,” katanya.
Dalam masa yang sama, beliau menzahirkan penghargaan yang mendalam kepada para pencipta lagu tradisional yang telah menyumbangkan karya sejak awal tahun ini.
Lebih membanggakan, album ini turut mendapat sokongan daripada Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures menerusi Dana Kebolehanpasaran (Domestik) 2.0 bagi memperkukuh usaha pemerkasaan karya seni tempatan serta memastikan muzik tradisional terus mendapat tempat dalam pasaran arus perdana.
Sokongan ini juga mencerminkan keyakinan bahawa muzik berteraskan warisan budaya masih mampu bersaing dalam industri moden yang dinamik.
Album Gema Bumantara mengandungi 10 buah lagu baharu, hasil gabungan bakat hebat daripada komposer dan penulis lirik seperti Firdaus Rahmat, Iqie Hugh, Usop Kopratasa, Hafiz Hamidun, Aubrey Suwito, Omar K, Shazriq Azeman, Aiman Sidek, Wan Saleh, Affan Mazlan, Danish Norr.
Turut terlibat adalah Aisha Retno, RADi, Melly Goeslaw, Amni Musrifah, Irena Taib dan Jamilah Abu Bakar, Ahmad Fedtri Yahya, Datuk Habsah Hassan, Dato’ Sri Siti Nurhaliza.
Lagu-lagu yang menghiasi album ini ialah Kumbang Bunga (duet bersama Lesti), Hati Yang Rindu, Rencong, Pesanan Buat Diri, Kaca dan Permata (duet bersama Umairah), Syurgaloka, Hujung Bumi, Kesuma, Jenjang Cinta dan Cenderamaya.
Proses penghasilan album ini mengambil masa hampir setahun merangkumi fasa pencarian lagu, penyusunan muzik, rakaman vokal dan produksi akhir yang dilakukan dengan penuh ketelitian serta sepenuh jiwa oleh seluruh pasukan produksi
Album Gema Bumantara yang diterbitkan bersama oleh SN Legacy Sdn. Bhd., Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn. Bhd. dan Universal Music Sdn.Bhd. kini boleh dinikmati di semua pelantar digital utama bermula 28 Oktober 2025.
Sementara itu, album edisi fizikal pula dijangka akan dilancarkan pada Januari 2026 bersempena Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza. – THE VOKAL