Rawatan Al Fashdu bahaya? ‘Haram jika memudaratkan’ – Dr Afif
SELAIN perubatan moden, rawatan alternatif merupakan kaedah perubatan yang sering menjadi pilihan masyarakat dalam merawat masalah kesihatan.
Antara rawatan alternatif adalah seperti bekam, akupuntur, homeopati, amalan perubatan Islam, refleks, logi dan banyak lagi.
Namun sejak akhir-akhir ini rawatan Al Fashdu yang menjadi pilihan sesetengah masyarakat mula dipertikaikan dan ada yang mendakwa badan menjadi lemah dan hampir pengsan selepas menjalani prosesnya.
Doktor perubatan, Dr Afif Mohd Ridzwan melihat rawatan Al Fashdu yang melibatkan proses penebukan salur darah bertujuan membersihkan tubuh daripada ‘darah toksik’ ini sebagai membahayakan jika tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Sebelum ini saya pernah menerima pesakit yang mengadu badan jadi tak sihat dan hampir rebah dalam bilik air selepas beberapa kali buat rawatan Al Fashdu.
“Saya tidak pasti di mana dia buat rawatan Al Fashdu itu, namun jika pusat itu tidak berdaftar serta melanggar SOP (Prosedur Operasi Standard) yang ditetapkan KKM, sudah tentu ia salah kerana memudaratkan.
“Bagi saya, rawatan tersebut salah dan tak boleh dilakukan jika tidak diperakui oleh KKM. Malah KKM sendiri melarang mana-mana doktor untuk menjalankan rawatan tersebut ke atas pesakit,” katanya.
Dr Afif yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Rawatan Al Farhain berkata, terdapat pihak tertentu misalnya segelintir ustaz mempromosikan rawatan Al Fashdu ini kepada orang ramai yang didakwa mampu mengurangkan kolesterol dalam darah.
“Bukan semua, tetapi ada segelintir ustaz yang menjalankan rawatan ini suka buat hukum sendiri tanpa merujuk kepada KKM. Ini kerana, ramai yang mengaitkan rawatan ini dengan insan bergelar ustaz.
“Misalnya orang yang merokok, dia akan cakap merokok dibolehkan. Padahal merokok ini fatwanya haram, tapi dia tetap cakap boleh dan mereka ada hujah-hujah tersendiri pula.
“Begitulah juga dengan rawatan Al Fashdu, ada ustaz yang membolehkannya, sedangkan ia tidak boleh dilakukan. Mereka cakap rawatan itu bagus atas alasan tersendiri.
“Ingin saya tegaskan, rawatan ini adalah harus namun jadi haram apabila membahayakan dan memudaratkan melainkan ia mematuhi semua aspek SOP yang telah ditetapkan KKM.
“Dalam Islam pun melarang perkara yang boleh merosakkan atau memudaratkan kesihatan. Itu satu perbuatan zalim apabila mencampakkan diri ke arah sesuatu yang berisiko membahayakan kesihatan.
“Bagi saya, daripada buat rawatan al Fashdu, lebih baik pergi menderma darah di hospital atau mana-mana klinik. Selain badan sihat, pahala pun dapat,” katanya.
Menurut Dr Afif lagi, terdapat beberapa faktor lain lagi yang menyebabkan rawatan Al Fashdu tidak dibenarkan.
“Antara alasan rawatan ini tidak dibenarkan jika lokasi persekitaran tidak kondusif, tiada ciri-ciri kebersihan, malah ada sesetengah pengamal yang menjalankan prosedur tersebut tidak menggunakan sarung tangan.
“Bukan itu sahaja, peralatan terutamanya jarum yang digunakan tidak disteril (nyahkuman). Ianya menjadi sumber jangkitan kuman dan virus seperti HIV, hepatitis,” katanya.
Selain itu, Dr Afif juga menjelaskan bahawa rawatan Al Fashdu dilakukan tanpa pengawasan ahli yang mahir dan pesakit tidak disaring terlebih dahulu status kesihatan mereka seperti tekanan darah, paras gula, status HIV atau penyakit-penyakit berjangkit lain.
“Prosedur yang melibatkan darah ini perlu diteliti dan disaring dengan kaedah tertentu agar tidak berlaku jangkitan penyakit atau kuman dari satu pesakit kepada pesakit yang lain,” tambahnya lagi. – THE VOKAL