Erma Fatima Buat Comeback, Satukan Bintang A-List Malaysia, Indonesia
Selepas sedekad memberi tumpuan kepada penerbitan dan lakonan, nama Erma Fatima kembali menjadi sebutan apabila kemunculannya di lokasi penggambaran mencetuskan tanda tanya ramai.
Perkongsian terbaharu di media sosial memperlihatkan figura berpengaruh industri itu berada di sebalik tabir sebuah projek rentas sempadan, sekali gus menguatkan spekulasi bahawa beliau kembali memegang peranan kreatif yang pernah melonjakkan reputasinya suatu ketika dahulu.
Tanpa memperincikan terlalu mendalam, Erma atau nama sebenarnya, Fatimah Rahmad Ali menerusi Instagram memuat naik foto berada di set penggambaran untuk sebuah projek kerjasama Malaysia dan Indonesia.
“Lama tak rasa macam ini (begini),” demikian coret Erma, 58, di samping beberapa foto yang menyaksikan pelakon ‘A-list’ terlibat dalam projek terbabit termasuklah Datin Seri Umie Aida, Vanidah Imran, Puteri Sarah dan Anna Jobling.
Dalam hantaran terbabit, Erma menggunakan audio lagu islamik, Wahai Pemilik Jiwa dendangan asal Opick.
Turut kelihatan dalam hantaran terbabit adalah gambar bintang Indonesia, Lukman Sardi, Bima Samudra, Elina Joerg dan Valentino.
Erma ketika dihubungi memaklumkan, dia sudah lama tidak duduk di kerusi pengarah dan sekadar melepaskan rindu untuk projek istimewa tersebut.
“Lepas gian selepas 10 tahun tak direct (mengarah). Saja suka-suka, setakat ini tak tahu lagi mana nak tayang,” katanya ringkas.
Untuk rekod, pengarah Terbaik Festival Filem Antarabangsa Pyongyang ke-7 itu kali terakhir mengarah telefilem menerusi Pesan Dari Tuhan yang diangkat sebagai Drama Terbaik Anugerah Skrin 2017. – THE VOKAL