Bengang Dituduh Riak, Aleeya Avenys Mengamuk Bila Dituduh Sengaja Tayang Berlian
Nama pempengaruh dan usahawan kosmetik, Aleeya Avenys kembali jadi bualan hangat apabila dituduh riak dan gemar mempamerkan kemewahan termasuk koleksi barang kemas yang dipakai.
Setiap kali tampil dengan gaya serba berkilau di media sosial, ada sahaja mata yang memerhati dan jari yang pantas menuding. Namun di sebalik kecaman yang semakin lantang, timbul persoalan, salahkah berkongsi hasil usaha sendiri, atau memang budaya ‘tunjuk kaya’ sukar diterima?


Bagai tidak asing lagi dengan hal negatif seumpama itu, ibu kepada tiga cahaya mata ini hanya mampu tersenyum simpul.
“Dah saya jual barang kemas, habis nak harapkan saya tunjuk apa gamaknya. Tentunya saya pakai atau peraga batu permata termasuk berlian, jika itu barang dagangan atau jualan diketengahkan.
“Dalam hal ini, tiada istilah saya bersikap riak atau suka menunjuk. Paling tepat penggunaan bahasa dalam situasi ini ialah menghargai keindahan batu pertama ini semua,” Katanya.

Jelas Aleeya Avenys lagi, dia bagaimanapun tidak terasa hati dengan kecaman seumpama itu.
“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, saya sudah mula masak dengan permainan laman maya ini.
“Namun, dalam masa sama, saya tetap berhati- hati supaya tidak mengundang perkara tak diingini,” Katanya.

Enggan menoleh ke belakang lagi, wanita kecil molek berkulit putih gebu itu kini juga teruja bercerita mengenai dirinya yang berjinak-jinak sebagai sebagai tauke barang kemas di bawah nama Avenys & Co.
“Semuanya berlaku tanpa dirancang. Tapi berlian dan permata umpama teman akrab golongan wanita. Macam lagu mendiang Marilyn Monroe berjudul Diamonds Are a Girl’s Best Friend.
“Dalam erti kata lain, saya sudah mula ‘tersuka’ dan ‘terjatuh hati’ dengan barang kemas terutama berlian. Dari membeli dan mencari berlian terbaik untuk diri sendiri, akhirnya jadi geram sampai terbeli dalam kuantiti banyak.
“Kemudian suka pula batu permata. Lama- kelamaan, asyik fikir dan menikmati keindahan barang kemas, tercetus rasa serta keputusan untuk menceburi perniagaan ini. Lebih istimewa saya reka sendiri barang kemas yang diingini,” Katanya teruja.
Isteri kepada Azri Aziz atau lebih dikenali dengan gelaran Big Boss itu fokus dan tumpuannya terhadap perniagaan barang kemas juga lebih banyak sekitar 80 peratus.
“Selebihnya (20 peratus) perhatian itu tetap diberikan untuk perniagaan penjagaan kulit (jenama Avenys) yang dibangunkan sejak beberapa tahun lalu.
“Tambahan lagi, perniagaan penjagaan kulit itu sudah ibarat boleh lepas tangan kerana sudah boleh dibeli di banyak premis perniagaan termasuk Guardian dan Aeon Wellness.
“Saya pun ada hos siaran langsung di TikTok yang aktif menjual. Syukur juga jenama kebanggaan saya ini sudah dikenali, dipercayai dan mempunyai kelompok pelanggan serta peminat tegar,” Katanya.

Tambah Aleeya Avenys lagi, semangatnya meluaskan cabang empayar perniagaan berlian dan batu permata didorong keinginan untuk mendidik orang untuk lebih bijak membeli.
“Memang kita selalu dengar ramai yang kena tipu sebab tak tahu selok belok barang kemas. Ada yang beriya nak beli berlian dan permata tapi hujung – hujung batu dicari tak berkilau selain palsu.
“Jadi untuk permulaan barang kemas saya ini dibuat secara konsep made to order dan boleh ditempah menerusi laman sesawang www.avenys.com,” Katanya.
Dalam pada itu, Aleeya Avenys mengakui masih bersarang rasa sedih dan ralat apabila akaun Instagram (IG) peribadinya dengan jumlah lebih 900,000 digodam sebelum ini.
“Sedih memang sedih kerana IG itu banyak kenangan. Termasuklah mengumpul ramai peminat dan pelanggan. Menerusi IG itu juga saya perlahan demi perlahan meluaskan empayar diri serta pengaruh perniagaan.
“Saya ada juga usaha untuk mendapatkan akaun IG itu balik. Tapi macam agak sukar. Akhirnya macam kena reda saja. Ada juga buat akaun IG baharu, tapi berjaya kumpul sedikit saja pengikut sekitar lebih 2,000.
“Saya kini banyak guna medium Facebook dan TikTok saja. Tapi kebelakangan ini lebih kepada Facebook (Avenys) termasuk buat ‘live’ kerana banyak sangat kekangan di TikTok. TikTok perniagaan saya sendiri sudah empat kali diharamkan.
“Natijahnya sampai wang syarikat saya di bawah akaun TikTok itu pun lesap. Sudah banyak kali buat aduan dengan pihak TikTok tapi semuanya berakhir dengan kehampaaan,” Katanya.
Aleeya Avenys sebelum ini juga mengakui pernah memperlahankan kerancakan bersiaran langsung di media sosial kerana penyakit ain.
“Sebab itu juga juga saya guna khidmat hos siaran langsung. Kita tak pernah tahu apa yang ada dalam hati orang yang mungkin iri dan cemburu. Jadi saya ambil langkah berjaga-jaga untuk tidak terlalu menonjol.
“Cuma kebelakangan ini saya mula rasa senangat balik nak aktif di media sosial termasuklah buat vlog untuk dimuat naik di TikTok dan platform media sosial lain.
“Macam baru-baru ini saya ada buat vlog semasa bercuti di benua Antartika selama tiga minggu bersama suami. Percutian mewah itu pun mencuri perhatian netizen apabila ada yang menyamakan kos ke sana macam pakej VIP menunaikan haji. Macam – macam lagilah telahan netizen, tapi saya sudah Imun,” Katanya.
Sebelum berniaga batu permata, dia terlebih dahulu meneroka dan mencipta nama dalam pasaran jual sambal, penjagaan kulit dan suplemen. – THE VOKAL