Hotel Tenera Dinobatkan Best Ramadan Buffet 2026, ‘Sokongan Media, Artis Amat Bermakna’ – Fadzly Hamzah
Tenera Hotel & Suites terus mengukuhkan reputasinya dalam industri hospitaliti apabila dinobatkan sebagai penerima anugerah Best Ramadan Buffet 2026 bertaraf lima bintang buat tahun ketujuh berturut-turut.
Pengurus Besarnya, Fadzly Hamzah menyifatkan pengiktirafan tersebut sebagai satu pencapaian yang amat bermakna buat seluruh warga kerja hotel berkenaan.

Menurut beliau, kejayaan itu bukan sahaja membuktikan komitmen pasukan dalam menyediakan pengalaman berbuka puasa yang berkualiti, malah menjadi pembakar semangat untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada para tetamu.
“Alhamdulillah, pengiktirafan ini merupakan satu penghormatan besar buat kami di Tenera Hotel & Suites. Untuk tahun ketujuh berturut-turut kami menerima anugerah Best Ramadan Buffet lima bintang.
“Pengiktirafan ini pastinya menjadi motivasi kepada seluruh warga kerja kami untuk terus mengekalkan standard perkhidmatan terbaik,” katanya.
Tambah beliau lagi, kejayaan tersebut juga didorong oleh usaha berterusan pasukan hotel dalam memastikan setiap hidangan serta pengalaman berbuka puasa yang ditawarkan memenuhi cita rasa para pengunjung.
“Saya bersyukur mempunyai team yang bagus dan sentiasa berusaha memperbaiki kelemahan yang ada demi memastikan pencapaian terbaik buat pelanggan.
“Bukan itu sahaja, saya cukup hargai jasa pihak media dan peranan ramai artis yang tidak jemu menyokong Hotel Tenera terutamanya dalam Bufet Ramadan tahun ini. Peranan mereka sangat bermakna dan menjadi antara sebab hotel ini terus dikenali,” katanya.

Antara selebriti yang sering menjadikan Bufet Ramadan Hotel Tenera sebagai pilihan untuk berbuka puasa ialah Datin Alyah, Datuk Jamal Abdillah, Baby Shima, Ayu Damit, Zoey Rahman, Zaki Yamani, Idayu AF, Adam AF, Bob AF dan ramai lagi.
Pada masa sama, Fadzly berkata pihaknya turut menampilkan kelainan pada tahun ini apabila berjaya menghimpunkan tetamu dari tiga negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Singapura dalam program yang dianjurkan.
“Ini merupakan satu perkembangan yang sangat positif apabila kita dapat menghimpunkan tetamu dari tiga negara. Ia memberi peluang kepada mereka untuk menikmati pengalaman berbuka puasa yang unik di Tenera Hotel & Suites,” katanya lagi.
Dalam masa yang sama, beliau turut berharap pengiktirafan yang diterima itu akan terus menjadi pemangkin kepada pasukan hotel untuk meningkatkan mutu perkhidmatan serta mengekalkan kedudukan sebagai antara destinasi pilihan bagi bufet Ramadan di negara ini.
Bufet Ramadan yang berlangsung bermula 20 Mac hingga 17 April 2026 di Restoran Grandballroom, Tenera Hotel & Suites ini menjanjikan pengalaman berbuka puasa yang luar biasa dengan menampilkan hidangan autentik dari negara jiran seperti Indonesia dan Thailand, di samping mengekalkan keaslian citarasa Malaysia.
Antara sajian istimewa dari Indonesia yang menjadi tarikan utama termasuk Nasi Padang, Ayam Pop, Rendang Riau dan Gulai Padang Urat Keting, yang terkenal dengan keunikan rempah ratus dan keaslian rasanya. Selain itu, pengunjung juga berpeluang menikmati hidangan popular dari Thailand seperti Nasi Khao Mok Kambing Panggang, Tom Yam Merah, serta pencuci mulut kegemaran ramai iaitu Pulut Mangga.
Bagi mengekalkan identiti tempatan, Tenera Hotel & Suites turut menyajikan pelbagai hidangan tradisional Malaysia seperti Dalcha Lutut Kambing, Gulai Kawah Raja Berangkat dan Asam Pedas Telur Mayong, yang sememangnya sinonim dengan citarasa masyarakat tempatan dan sentiasa menjadi pilihan utama para pengunjung setiap tahun.
Bufet Ramadan 2026 ini ditawarkan pada harga RM148+ bagi dewasa dan RM74+ bagi kanak-kanak, menjadikannya pilihan ideal untuk keluarga, rakan sekerja dan tetamu korporat yang ingin menikmati pengalaman berbuka puasa dalam suasana yang selesa dan eksklusif.
Tenera HoteL & Suites, hotel bertaraf lima (5) bintang milik penuh Koperasi Permodalan FELDA Malaysia Berhad (KPF), juga komited dalam menyokong amalan kelestarian dan sedang dalam persediaan untuk mencapai status Fully Comply ESG (Environmental, Social & Governance) menjelang Jun 2026.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif ESG, hotel ini telah melaksanakan sistem pengurusan sisa yang mampan, di mana bahan buangan makanan diproses semula untuk dijadikan baja dan enzim pembersih semulajadi sebagai alternatif kepada penggunaan bahan kimia.
Komitmen Tenera Hotel & Suites terhadap kecemerlangan dan hospitaliti mesra Muslim turut diiktiraf di peringkat antarabangsa apabila hotel ini menerima anugerah berprestij “Most Preferred Brand – Outstanding Muslim Friendly Hospitality & Event Space” daripada The BrandLaurette Awards pada penghujung tahun 2025.
Dengan gabungan keunikan konsep serantau, sajian bertaraf antarabangsa dan komitmen terhadap kelestarian, Bufet Ramadan Tenera Hotel & Suites dijangka terus menjadi destinasi pilihan utama bagi masyarakat sekitar Bangi, Putrajaya, Kajang dan Kuala Lumpur untuk berbuka puasa sepanjang bulan Ramadan. – THE VOKAL