‘Nak Defend Pun Berakal Sikit’, Neow Choo Seong Bangkit Isu Banjir Selangor
Isu banjir kilat yang semakin kerap berlaku di Selangor mengundang perhatian Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong yang mempersoalkan perancangan kerajaan dalam menangani masalah berkenaan.
Menerusi satu hantaran di Instagram, Neow menyindir sikap segelintir pihak yang didakwa lebih sibuk berkempen di Melaka ketika isu banjir di negeri sendiri masih belum mendapat perhatian sewajarnya.
Beliau turut membangkitkan persoalan mengenai kejadian banjir yang menurutnya berlaku hampir setiap bulan di Selangor, malah hujan sekejap juga boleh menyebabkan kawasan tertentu dinaiki air.
Dalam satu komen membalas pengguna Instagram, @qamalunggul, Neow berkata negeri lain turut berdepan banjir, namun keadaan di Selangor dilihat lebih kerap berlaku.
“Di negeri lain banjir teruk setahun sekali sebab musim tengkujuh. Di Selangor banjir hampir setiap bulan. Hujan sejam pun dah banjir teruk termasuk di kawasan rumah saya.
“Come on la. Nak defend pun berakal la sikit,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan apakah perancangan kerajaan dalam menangani masalah banjir kilat yang bukan sahaja mengganggu kehidupan harian, malah mengakibatkan kerosakan harta benda rakyat.
“Orang nak tahu apa perancangan kerajaan dalam menangani isu banjir kilat yang menjejaskan kehidupan dan harta benda rakyat. Bukan nak cari salah negeri lain pula,” katanya.
Dalam hantaran sama, Neow turut mengaitkan isu pembalakan hutan dengan kejadian banjir yang didakwa semakin kerap berlaku.
Persoalan mengenai keberkesanan langkah pencegahan dan pengurusan banjir itu sekali lagi mengangkat isu keperluan penyelesaian jangka panjang bagi melindungi penduduk yang terkesan setiap kali hujan lebat.