Selepas pembedahan tujuh jam, anggota polis ditetak mula gerakkan jari
Anggota polis, Lans Koperal Thierry Rodger Fendy, 26, yang putus pergelangan tangan kanan akibat ditetak dalam insiden di Desa Jaya, Kepong, menunjukkan perkembangan positif apabila sudah mampu menggerakkan beberapa jari selepas menjalani pembedahan selama tujuh jam.
Perkembangan itu dimaklumkan Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Seri Fahmi Fadzil menerusi sidang media hari ini selepas Jemaah Menteri menerima taklimat daripada Menteri Kesihatan berhubung keadaan anggota berkenaan.
Menurut Fahmi, pasukan pakar pembedahan Hospital Kuala Lumpur (HKL) berjaya menyambung semula pergelangan tangan kanan mangsa dalam prosedur yang mengambil masa tujuh jam.
“JemaahMenteri juga telah mengambil maklum bahawa pakar pembedahan di HKL telah berjaya melaksanakan tugas ini dan anggota polis tersebut telah menunjukkan perkembangan yang positif dengan menunjukkan keupayaan menggerakkan beberapa jari yang terkesan,” katanya.
Thierry masih menerima rawatan susulan selepas mengalami kecederaan parah dalam insiden serangan berkenaan.
Terdahulu, mangsa dipercayai ditetak seorang lelaki menggunakan senjata tajam ketika sepasukan polis menjalankan operasi di sebuah unit pangsapuri di Desa Jaya, Kepong, semalam.
Rakaman video kejadian yang tular di media sosial turut memaparkan seorang lelaki menyerang individu dipercayai anggota polis menggunakan dua bilah parang sehingga menyebabkan kecederaan serius pada tangan kanan mangsa. – THE VOKAL