Zairita Azlin teroka peluang pelaburan antarabangsa menerusi FM2TW
Inisiatif From Malaysia To The World (FM2TW) di bawah Ezcape Travel Tech Sdn. Bhd. berjaya meraih peluang pelaburan daripada tiga negara Asia Barat menerusi siri kunjungan dan rundingan strategik yang dijalankan baru-baru ini.

Tuan Hj. Mulyadi Bemban yang juga suami tercinta ( Berdiri dua dari kanan ),
Heintje Nazaruddin, Pengarah Event FM2TW (Berdiri paling kanan ), Abu Bakar Yahya @ ABY ( Berdiri dua dari kiri ) serta
Mohd. Azrai, Director of operation & Administration FM2TW ( Berdiri Paling Kiri ).
Usahawan wanita terkenal tanah air merangkap Presiden FM2TW, Datuk Dr. Zairita Azlin berkata, antara projek yang dirancang ialah pembangunan hospital berkonsepkan pelancongan kesihatan bersama rakan pelabur dari Amiriah Arab Bersatu (UAE).


Menurutnya, hospital berkenaan bakal menawarkan konsep berbeza daripada kemudahan kesihatan sedia ada di negara ini.
“Kami berjaya bawa pelabur sebagai rakan strategik untuk satu projek yang kami rasa Malaysia memerlukan iaitu hospital pelancongan,” katanya ketika ditemui sekembalinya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), baru-baru ini.

Selain UAE, FM2TW turut mencapai kerjasama dengan dua lagi negara rantau Teluk khususnya bagi program Haji dan Umrah untuk musim akan datang.
“FM2TW telah menandatangani kerjasama bagi program Haji dan Umrah bagi musim akan datang.
“Kami berbangga apabila berjaya mendapat hubungan terus dengan mereka dan telah menandatangani MOU (perjanjian persefahaman),” katanya.

Sementara itu, di Mesir, delegasi FM2TW mengadakan kunjungan ke pejabat Tourism Malaysia bagi mengukuhkan kerjasama serta menerima jemputan menyertai sebuah ekspo pelancongan yang dijadualkan berlangsung bulan depan.

Delegasi yang diketuainya turut mengadakan pertemuan dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) di Kaherah dan Kedutaan Besar Malaysia bagi meneroka potensi kolaborasi serta peluang pasaran untuk syarikat tempatan.
Zairita berkata, siri kunjungan dan rundingan positif itu membuka lembaran baharu kepada peluang pelaburan asing, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi berpotensi dalam sektor kesihatan, pelancongan dan perkhidmatan bertaraf antarabangsa.


Pencapaian itu turut mencerminkan komitmen Ezcape Travel Tech menerusi FM2TW dalam menghubungkan syarikat tempatan dengan pelabur serta rakan perniagaan antarabangsa, khususnya di rantau Teluk.
“Misi ke Asia Barat merupakan pendekatan pertama FM2TW. Selepas ini kami akan ke Eropah memandangkan tidak lama lagi, ada beberapa delegasi dari benua itu akan datang bagi meninjau peluang pelaburan di Malaysia,” katanya. – THE VOKAL