Emo belum mati! Hari pertama konsert MCR ‘pukau’ 62,000 peminat
ZAMAN emo yang pernah mencorakkan identiti muzik generasi muda sekitar awal 2000-an kembali menguasai Stadium Nasional Bukit Jalil apabila My Chemical Romance (MCR) membuktikan pengaruh mereka masih berbisa menerusi konsert yang menghimpunkan 62,000 penonton pada malam pertama, Khamis.
Biarpun hampir dua dekad tidak menjejakkan kaki ke Malaysia, kumpulan rock alternatif dari New Jersey, Amerika Syarikat itu masih memiliki tarikan luar biasa apabila ribuan peminat menyambut kemunculan mereka dengan nyanyian, sorakan dan laungan yang menggegarkan stadium.
Lebih daripada persembahan muzik, kemunculan MCR kali ini seakan-akan membuka kembali lembaran nostalgia buat mereka yang membesar dengan lagu-lagu berunsur pemberontakan, kekecewaan dan pencarian identiti diri.
Dianjurkan Hello Universe, konsert My Chemical Romance Live in Kuala Lumpur itu menampilkan empat anggota asal iaitu Gerard Way, Ray Toro, Mikey Way dan Frank Iero.
Kelainan persembahan jelas terpancar menerusi karakter pentas Gerard yang membawa elemen gelap dan dramatik, sekali gus menjadikan konsert berkenaan seolah-olah sebuah teater rock dengan muzik sebagai nadi utamanya.
Penampilan vokalis itu dengan dakwat hitam memenuhi bahagian mulut turut mencuri perhatian, terutama ketika kumpulan berkenaan membuka persembahan dengan sketsa phantom sebelum mengalunkan The End, Dead! dan This Is How I Disappear.
Bagaimanapun, kekuatan sebenar MCR terserlah apabila mereka mula menyentuh deretan lagu yang cukup dekat dengan jiwa peminat.
Detik Welcome to the Black Parade menjadi antara momen paling luar biasa apabila puluhan ribu penonton menyanyikan lagu berkenaan serentak sehingga stadium bertukar menjadi lautan suara.
Tidak kurang hebatnya I Don’t Love You, Teenagers dan Famous Last Words yang terus menghidupkan suasana, membuktikan lagu-lagu berkenaan masih mempunyai tempat istimewa walaupun sudah bertahun-tahun diterbitkan.
Malah, MCR turut menyelitkan sisi lebih emosional menerusi Cancer, Mama, Sleep dan Disenchanted sebelum menutup bahagian pertama dengan The End (Reprise) serta Blood.
Di sebalik persembahan bertenaga itu, Gerard sempat mencuit hati penonton apabila berseloroh mengenai cuaca lembap di Malaysia yang sedikit sebanyak menguji mereka.
“Macam mana nak main dalam keadaan (cuaca) begini.
“Saya tahu persembahan ini dijadualkan semula tapi terima kasih kerana hadir malam ini. Terima kasih kerana menunggu lama untuk kami,” katanya.
Ucapan itu turut memperlihatkan penghargaan kumpulan berkenaan terhadap peminat yang tetap setia menantikan kepulangan mereka selepas konsert berkenaan dijadualkan semula.
Selepas berehat seketika, MCR kembali dengan tenaga lebih agresif menerusi Give ‘Em Hell, Kid, Na Na Na (Na Na Na Na Na Na Na Na Na) dan Our Lady of Sorrows.
Mereka kemudian meneruskan persembahan dengan SING, AMBULANCE serta Cemetery Drive sebelum mempersembahkan Helena dengan intro lebih panjang yang membuatkan penonton kembali bersorak.
Kehangatan malam itu semakin memuncak menerusi I’m Not Okay (I Promise), lagu yang cukup sinonim dengan identiti muzik kumpulan berkenaan.
Namun, kejutan paling istimewa buat peminat tegar hadir apabila MCR memilih untuk mempersembahkan Demolition Lovers daripada album sulung mereka, I Brought You My Bullets, You Brought Me Your Love yang diterbitkan pada 2002.
Pemilihan lagu berkenaan memberikan nilai sentimental tersendiri, khususnya buat mereka yang mengikuti perjalanan muzik kumpulan itu sejak awal kemunculan.
Apa yang dipamerkan pada malam pertama jelas menunjukkan MCR bukan sekadar bergantung kepada populariti masa lalu untuk menarik penonton, sebaliknya masih mampu menghidupkan karya mereka dengan persembahan yang mempunyai identiti tersendiri.
Selepas mencetuskan fenomena dengan kehadiran 62,000 penonton, MCR dijadualkan kembali menguasai pentas Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini (Jumaat) bagi konsert hari kedua. – THE VOKAL