‘Jaga saliran elak banjir lebih buruk, patuh arahan pihak berkuasa’ – Bomba Bentong
KEADAAN persekitaran kediaman yang tidak diselenggara dengan baik, termasuk saliran tersumbat, boleh menambah risiko masalah aliran air ketika hujan lebat sehingga penduduk perlu mengambil langkah pencegahan sebelum banjir berlaku.


Sehubungan itu, Balai Bomba dan Penyelamat Bentong, Pahang mengingatkan masyarakat supaya memberi perhatian terhadap aspek keselamatan persekitaran selain membuat persediaan menghadapi kemungkinan bencana banjir.
Menerusi perkongsian di Facebook, balai bomba berkenaan menyenaraikan tujuh langkah kesiapsiagaan yang wajar diamalkan orang ramai, termasuk memastikan sistem saliran tidak tersumbat dan mengenal pasti kawasan yang berisiko dinaiki air.
Penduduk juga disaran tidak mengambil mudah perkembangan cuaca, sebaliknya sentiasa memantau maklumat terkini bagi mengetahui kemungkinan hujan lebat atau keadaan yang boleh mencetuskan banjir.

Persediaan lain termasuk menyediakan kit kecemasan, memindahkan barangan berharga ke kawasan lebih tinggi serta mengenal pasti laluan keselamatan sekiranya pemindahan perlu dilakukan.
Ketua BBP Bentong, Syed Moshen T. Ismail berkata, pihaknya sentiasa memastikan segala tindakan dapat dilaksanakan dengan teratur.
“Orang ramai turut diminta mematuhi arahan pihak berkuasa dan anggota bomba ketika berdepan situasi kecemasan.
“Ingin saya tegaskan di sini, tindakan awal tidak seharusnya dipandang ringan kerana persediaan sebelum bencana mampu membantu mengurangkan risiko terhadap keselamatan keluarga dan harta benda.
“Jangan tunggu air naik baru hendak bertindak. Bersedia lebih awal, lindungi keluarga tersayang,” katanya.

Untuk sebarang kecemasan, orang ramai boleh menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Bentong menerusi talian 09-222 4444 atau talian kecemasan 999. – THE VOKAL