Skip to content
THE VOKAL THE VOKAL
  • Home
  • Semasa
  • Selebriti
  • Sensasi
  • Sohor
  • Santai
  • Stadium
  • Sembur
Untitled design (6)
  1. Home
  2. Semasa
  3. 10,000 Rohingya bakal ditempatkan di Türkiye
 10,000 Rohingya bakal ditempatkan di Türkiye
Semasa

10,000 Rohingya bakal ditempatkan di Türkiye

by VOKALIS 20/11/2026 34

PELUANG membina kehidupan baharu di negara ketiga bakal menjadi kenyataan kepada 10,000 pelarian Rohingya di Malaysia apabila Türkiye bersetuju menerima mereka menerusi inisiatif penempatan yang turut dilengkapi latihan kemahiran teknikal dan vokasional (TVET).

Program itu bukan sahaja membuka ruang kepada penempatan semula, malah memberi tumpuan kepada persediaan golongan berkenaan untuk memasuki sektor pekerjaan melalui latihan yang disesuaikan dengan keperluan industri di negara penerima.

Gambar Hiasan: Kredit foto Sarawak Viral

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, persetujuan itu diperoleh hasil cadangan yang dikemukakannya susulan lawatan kerja rasmi ke Republik Türkiye baru-baru ini dan kemudiannya dipersetujui Jemaah Menteri.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah serta Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing (JKKPA) berkata, inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada strategi kerajaan untuk menangani isu keberadaan pelarian Rohingya di Malaysia secara lebih terancang.

“Persetujuan Kerajaan Türkiye untuk menerima 10,000 pelarian Rohingya ini merupakan satu perkembangan yang amat positif dalam usaha Kerajaan Malaysia mencari penyelesaian jangka panjang terhadap isu pelarian Rohingya yang sekian lama menjadi antara cabaran pengurusan migrasi dan keselamatan negara,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Menerusi inisiatif itu, peserta terpilih akan mengikuti program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) selama tiga hingga enam bulan bagi melengkapkan diri dengan kemahiran yang diperlukan dalam pasaran pekerjaan.

Ahmad Zahid berkata, bidang latihan akan diselaraskan mengikut keperluan sebenar pelbagai sektor industri di Türkiye bagi memastikan peserta memperoleh kemahiran praktikal yang mempunyai nilai kebolehpasaran.

“Melalui pendekatan ini, pelarian Rohingya yang terlibat akan dibekalkan dengan kemahiran praktikal dan kompetensi pekerjaan yang relevan, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran mereka serta membuka peluang untuk menyertai pasaran pekerjaan dan menyumbang secara produktif kepada ekonomi negara penerima,” katanya.

Bagaimanapun, peluang menyertai pasaran pekerjaan itu tertakluk kepada peraturan yang berkuat kuasa di Türkiye.

Mengulas pendekatan tersebut, Ahmad Zahid menegaskan isu pelarian tidak wajar diselesaikan hanya melalui tindakan penguatkuasaan atau penghantaran keluar tanpa mengambil kira aspek kebajikan dan masa depan mereka.

“Penyelesaian isu pelarian tidak seharusnya hanya dilihat daripada perspektif penguatkuasaan dan penghantaran keluar semata-mata, tetapi juga mesti mengambil kira dimensi kemanusiaan.

“Mereka bukan sekadar dipindahkan dari sebuah negara ke negara lain, sebaliknya diberikan ilmu, kemahiran dan peluang untuk membina masa depan yang lebih terjamin,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan itu turut mengambil kira prinsip penyelesaian jangka panjang yang diperjuangkan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), khususnya menerusi penempatan semula di negara ketiga dengan memberi perhatian kepada aspek keselamatan, perlindungan dan maruah golongan berkenaan.

Bagi memastikan pelaksanaan berjalan lancar, kerajaan akan menyelaraskan urusan berkenaan bersama pihak berkuasa Türkiye, UNHCR serta agensi berkaitan.

Menurutnya, penyelarasan itu merangkumi proses pemilihan peserta, latihan kemahiran, dokumentasi dan penempatan dengan mengambil kira keperluan industri serta persetujuan individu yang terbabit.

“Kerajaan akan menyelaraskan pelaksanaan inisiatif ini bersama pihak berkuasa Türkiye, UNHCR serta agensi berkaitan bagi memastikan proses pemilihan, latihan, dokumentasi dan penempatan dilaksanakan secara teratur, dengan mengambil kira keperluan industri, persetujuan individu yang terlibat serta peraturan antarabangsa yang berkaitan,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, kerjasama dengan Türkiye berpotensi mewujudkan model pengurusan pelarian yang lebih sistematik, mampan dan bermaruah, selain membuktikan hubungan diplomatik kedua-dua negara mampu diterjemahkan kepada penyelesaian praktikal terhadap isu kemanusiaan yang turut melibatkan kepentingan Malaysia. – THE VOKAL 

 

Share This:

Previous post
Next post

VOKALIS

editor

Leave a Reply Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

No comments to show.

Categories

  • Santai
  • Sebaris
  • Sedunia
  • Selebriti
  • Semasa
  • Sembur
  • Sensasi
  • Serantau
  • Sohor
  • Stadium
RELATED Stories for you
Selebriti

Tidak mahu tergesa-gesa… Haiza ada sebab simpan

by VOKALIS 20/11/2026 48

ISTIMEWA buat peminat, penyanyi Haiza tampil dengan kelainan apabila memperkenalkan single terbaharunya, Pencuri yang

Semasa

‘Jaga saliran elak banjir lebih buruk, patuh

by VOKALIS 20/11/2026 39

KEADAAN persekitaran kediaman yang tidak diselenggara dengan baik, termasuk saliran tersumbat, boleh menambah risiko

Selebriti

Emo belum mati! Hari pertama konsert MCR

by VOKALIS 20/11/2026 45

ZAMAN emo yang pernah mencorakkan identiti muzik generasi muda sekitar awal 2000-an kembali menguasai

THE VOKAL THE VOKAL
About
© Copyright The Vokal 2026. All rights reserved.