Ayam tidak masak sempurna di MRSM, pelajar berisiko keracunan makanan
ISU penyediaan ayam yang didakwa tidak dimasak sempurna di sebuah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) sehingga mencetuskan aduan pelajar dan ibu bapa terus mendapat perhatian ramai.
Susulan itu, Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengarahkan siasatan segera serta tindakan tegas terhadap kontraktor penyedia makanan.
Dari sudut kesihatan, Public Health Malaysia menerusi perkongsian di Facebook mengingatkan bahawa ayam tidak dimasak sempurna berpotensi mengandungi bakteria berbahaya seperti Salmonella dan Campylobacter.
Keadaan itu boleh menyebabkan keracunan makanan dengan gejala seperti cirit-birit, muntah, loya, sakit perut dan demam. Dalam kes tertentu, jangkitan Campylobacter juga boleh mengakibatkan komplikasi sistem saraf dikenali sebagai sindrom Guillain-Barré.
Menurutnya, penyediaan makanan secara pukal di asrama berisiko menyebabkan wabak keracunan makanan melibatkan ramai pelajar sekiranya berlaku kecuaian.
“Satu kegagalan dalam proses penyediaan makanan berpotensi menyebabkan wabak keracunan makanan melibatkan ramai pelajar serentak,” jelasnya.
Sehubungan itu, pengusaha dewan makan perlu memastikan ayam dinyahbeku dengan betul dan dimasak sehingga mencapai suhu dalaman sekurang-kurangnya 74 darjah Celsius.
Pihak pengurusan asrama juga disaran memantau pelajar yang sudah mengambil hidangan berkenaan serta memaklumkan Pejabat Kesihatan Daerah sekiranya terdapat kes disyaki keracunan makanan.
“Anak-anak ini sedang berjuang untuk masa depan mereka. Jangan sampai ketika rakan-rakan lain sedang menjawab soalan peperiksaan, mereka pula terlantar di hospital akibat kegagalan menjaga keselamatan makanan yang sepatutnya boleh dicegah,” katanya.