Do’zee, Santara perkukuh strategi perniagaan, Raja Izzuddin Iskandar Shah dilantik penasihat
JENAMA produk pencuci dan penjagaan kediaman tempatan, Do’zee, melangkah ke fasa pertumbuhan baharu menerusi pelantikan Yang Amat Mulia Raja Izzuddin Iskandar Shah Al-Haj ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah sebagai Penasihat Syarikat, sekali gus memperkukuh hala tuju perniagaan dan pengembangan pasaran antarabangsa.
Pelantikan berkenaan turut melibatkan jenama makanan dan hospitaliti, Santara, ketika kedua-dua jenama itu merancang memperluas pengaruh di pasaran luar negara dengan Dubai menjadi antara destinasi utama.
Malah, Do’zee meletakkan sasaran mengeksport antara 10 hingga 15 kontena berukuran 20 kaki setiap bulan ke Dubai menjelang 2027, susulan perkembangan positif di pasaran Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Pelantikan rasmi itu diumumkan dalam satu majlis khas di Ibu Pejabat Do’zee, Rabu lalu, menerusi upacara penyerahan watikah pelantikan sebagai simbol penerimaan tanggungjawab.
Ia membabitkan tiga entiti korporat utama iaitu SR Asia Resources Sdn. Bhd. dan NGDM (M) Sdn. Bhd. bagi Do’zee, selain Akarr Cafe Sdn. Bhd. yang mengendalikan Santara.
Ketua Pegawai Eksekutif Do’zee dan Santara, Datuk Seri Dr. Mohd Syukri berkata, pelantikan itu merupakan satu penghormatan besar kepada syarikat dan diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada pengukuhan tadbir urus serta pembangunan perniagaan.
Menurutnya, pengalaman, pandangan dan nasihat Raja Izzuddin Iskandar Shah amat penting dalam membantu organisasi merangka strategi jangka panjang serta meningkatkan daya saing kedua-dua jenama.
“Sesungguhnya, keberangkatan Yang Amat Mulia Tuanku merupakan satu penghormatan yang amat besar kepada pihak kami.
“Kami berharap pandangan, pengalaman serta nasihat Yang Amat Mulia Tuanku dapat menjadi pedoman dalam memperkukuh hala tuju strategik, tadbir urus dan pembangunan perniagaan kami pada masa hadapan,” katanya.

Dubai jadi pintu masuk pasaran Timur Tengah
Dalam perkembangan sama, Do’zee kini giat memperluas rangkaian perniagaan ke pasaran Brunei, Singapura dan Thailand, selain menjadikan Dubai sebagai hab utama bagi menembusi pasaran Timur Tengah.
Bagi menyokong pengembangan tersebut, syarikat berkenaan telah menubuhkan entiti tempatan dikenali sebagai Dozee Global General Trading LLC yang beroperasi di Sheikh Zayed Road, selain memiliki kemudahan gudang sendiri.
Pengerusi Do’zee, Datuk Zulkifli Hussin berkata, pasaran Dubai ketika ini masih berada pada peringkat percubaan namun menunjukkan perkembangan memberangsangkan.
Malah, dua kumpulan pengedar lain di rantau Timur Tengah turut menyatakan minat untuk menjalinkan kerjasama dengan syarikat berkenaan.
Berdasarkan perkembangan itu, Do’zee optimis mencapai sasaran penghantaran antara 10 hingga 15 kontena setiap bulan ke pasaran Dubai.
Sasar pengeluaran sejuta unit sebulan
Dalam aspek pengeluaran, kilang Do’zee ketika ini menghasilkan antara 300,000 hingga 350,000 unit pelbagai produk pencuci setiap bulan, merangkumi pencuci pakaian, pencuci pinggan, pencuci lantai dan pewangi.

Operasi kilangnya menggunakan sistem automasi sebanyak 85 peratus, manakala selebihnya masih bergantung kepada proses manual.
Menjelang 2027, syarikat menyasarkan peningkatan kapasiti pengeluaran antara 500,000 hingga satu juta unit sebulan menerusi pengenalan pembungkusan baharu yang lebih eksklusif serta produk Sabo 2Z empat dalam satu berunsur antibakteria.
Bagi merealisasikan sasaran itu, Do’zee merancang memperuntukkan pelaburan antara RM3 juta hingga RM5 juta untuk menaik taraf barisan pengeluaran kepada sistem robotik sepenuhnya.
Pelaksanaan teknologi berkenaan dijangka meningkatkan kelajuan pengeluaran sehingga tiga hingga empat kali ganda berbanding kapasiti semasa sekitar 20,000 liter sehari, selain mengurangkan kadar kerosakan produk.
Perluas pasaran tempatan, intai peluang IPO
Sementara itu, Do’zee turut memberi tumpuan kepada pengukuhan pasaran domestik menerusi usaha memperluas rangkaian pengedaran ke pasar raya dan peruncit utama di seluruh negara.
Antara rangkaian yang menjadi sasaran ialah 99 Speedmart dan Mr. DIY, selain merancang menembusi pasaran stesen minyak menerusi pengenalan produk dalam pembungkusan bersaiz lebih kecil dan praktikal.
Dalam perancangan jangka panjang, syarikat turut menyasarkan penyenaraian awam permulaan (IPO) dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang, tertakluk kepada kesiapsiagaan kewangan serta kelulusan pihak berkuasa berkaitan.
Langkah itu mencerminkan aspirasi Do’zee dan Santara untuk berkembang sebagai jenama tempatan yang lebih berdaya saing, bukan sahaja di pasaran domestik malah di peringkat antarabangsa.