‘Jangan hanya tangkap orang tengah, bongkar dalang sindiket dadah’ – Pemuda PAS
DEWAN Pemuda PAS Malaysia menggesa kerajaan membongkar dalang utama sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah, termasuk pihak yang membiayai serta melindungi kegiatan haram itu, dan tidak hanya mengambil tindakan terhadap individu yang berada dalam rantaian logistik.
Ketua Penerangannya, Nadzir Helmi berkata, tindakan terhadap individu yang disyaki terbabit dalam kegiatan berkenaan tidak mencukupi untuk melumpuhkan keseluruhan operasi sindiket sekiranya pihak yang menjadi dalang masih bebas.
“Pemuda PAS berpandangan bahawa tindakan terhadap pihak yang disyaki terlibat dalam rantaian logistik semata-mata tidak mampu melumpuhkan keseluruhan ekosistem sindiket dadah, sekiranya dalang utama, pembiaya dan pihak yang menaungi kegiatan tersebut masih bebas,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, siasatan menyeluruh dan telus perlu dilaksanakan bagi mengenal pasti keseluruhan rangkaian kegiatan itu, termasuk aliran kewangan serta kemungkinan wujud unsur perlindungan oleh pihak berkepentingan.
“Kerajaan mesti memastikan tiada ruang atau perlindungan diberikan kepada mana-mana pihak yang menjadi dalang di sebalik kegiatan pengedaran dadah ini, tanpa mengira pangkat, kedudukan mahupun pengaruh,” katanya.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan perkembangan kes penyeludupan dan pengedaran dadah akhir-akhir ini, termasuk yang membabitkan pegawai agensi pertahanan negara.
Dalam pada itu, Pemuda PAS mengecam sekeras-kerasnya sebarang bentuk pengkhianatan dan penyalahgunaan amanah, lebih-lebih lagi apabila melibatkan aset strategik pertahanan negara.
Bagaimanapun, pihaknya menghormati proses perundangan terhadap enam individu yang berdepan pertuduhan mengikut peruntukan undang-undang yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup berserta sebatan.
Mengulas lanjut, Nadzir berkata, usaha mengenal pasti dan mengambil tindakan terhadap dalang utama perlu disegerakan sebelum sebarang hukuman mati, sekiranya dijatuhkan terhadap enam tertuduh.
“Jangan jadikan nyawa anggota sebagai kambing hitam, namun kepala sindiket terus bebas mengaut keuntungan dan merosakkan negara,” tegasnya.
Beliau berkata, dadah dan rasuah merupakan musuh utama negara yang perlu diperangi melalui penguatkuasaan undang-undang secara tegas serta pengenaan hukuman berat terhadap mana-mana pihak yang terbukti bersalah. – THE VOKAL