Ada yang nak ‘pijak’ saya sebab geram dengan Kak Ju – Che Ta
PERCATURAN Rozita Che Wan atau Che Ta kembali aktif berlakon tahun ini disifatkan tepat saat watak antagonis Kak Ju ( Juriah) lakonannya menerusi drama Bahagia Yang Tertangguh mula diperkatakan.
Selepas hampir tiga tahun tidak berlakon dan banyak menumpukan bidang perniagaan, isteri kepada Zain Saidin itu mula dibenci dan mengundang kemarahan ramai menerusi penangan karakter jahat sentuhan arahan Osman Ali itu.
Menurut, Che Ta lagi, penangan watak Kak Ju Itu mencetuskan pelbagai rasa amarah dan geram di kalangan peminat dan penonton drama tempatan yang sudah mengikuti drama terbitan iFabulous Art Media & Event Sdn. Bhd (iFame) untuk siaran Astro Ria itu.
“Penangan karakter Kak Ju itu umpama mengembalikan ingatan dan kenangan saya saat melakonkan watak Kiah Pekasam suatu ketika dahulu. Cuma bezanya inilah kali pertama saya berlakon watak antagonis. Jujur tak sangka watak itu semakin berbekas di hati penonton.
“Sejak siaran episod awal lagi, bayangkan sudah berbakul-bakul komen dan kecaman penonton serta netizen saya terima. Siap pakej makian minta Kak Ju ditidurkan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Tak kurang juga yang komen minta watak Kak Ju dimatikan segera. Ada juga yang komen dan cakap berdepan bila jumpa saya dengan nada sinis nak ‘pijak’ Kak Ju,” katanya yang turut terbabit membintangi projek filem Anak Mami Jarum Dalca Cinta Kerabu arahan Datuk Prof Dr A Razak Mohaideen.
Jelas Ibu kepada tiga cahaya mata itu lagi, dia tidak melihat percikan amarah dan geram terhadap watak dilakonkan itu sebagai satu ancaman.
“Dari sudut lain, saya percaya apabila watak itu meninggalkan kesan di hati penonton tak kira dari sudut positif atau negatif, bererti diri ini sudah cuba memberikan sehabis baik dalam menghidupkan watak Kak Ju. Syukur lakonan saya diterima dan beri impak.
“Komen dan kecaman sebegitu kalau difikirkan buat saya rasa nak gelak sebab geram punya fasal, mereka (penonton) sampai nak itu ini dengan Kak Ju,” Katanya.
Che Ta menambah lagi, dia berterima kasih kepada pihak produksi, stesen TV dan pengarah atas kepercayaan yang diberikan.
“Mereka berani cabar saya dengan watak sebegini dan keluar dari kepompong kebiasaan. Ikutkan saya seperti orang tahu, memang lantang bersuara. Saya dengan anak pun jenis tegas. Cuma mungkin sebelum ini tak ada produksi berani buka peluang serta mencabar saya bawa watak jahat.
“Sampai anak saya berseloroh cakap watak Kak Ju itu seperti diri sendiri. Tapi saya di rumah tidaklah sekejam Kak Ju. Malah kawan anak saya di Jerman yang menonton drama ini dalam talian pun terkejut dengan lakonan berkenaan yang sangat garang, ‘laser’ dan cakap lepas,” Katanya.
Che Ta yang bakal menyambut menantu pertama tahun depan juga menjelaskan melakonkan watak antagonis sebenarnya lebih mudah dari protagonis.
“Watak jahat macam ini tak perlu nak ‘control’. Lepaskan saja apa yang mahu diluahkan. Kalau watak baik pula kita kena banyak kawal dan bermain rasa serta emosi.
“Cuma selepas drama ini, sebolehnya saya tolak dulu watak antagonis kalau ditawarkan. Bukan tak nak lagi jadi jahat, tapi mungkin saya letakkan jurang atau tempoh masa,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai peluang buat julung kali berlakon di bawah tunjuk ajar Osman Ali, Che Ta mengakui sangat bertuah dan berbesar hati.
“Selama ini saya dengar saja cerita mengenai karya arahannya. Kali ini, dapat merasai ‘air tangan’ dia sebagai pengarah.
“Cuma selepas sekian lama tak berlakon depan kamera dan saat awal tempoh masuk set penggambaran drama ini, saya dan hampir kebanyakan pelakon terbabit kena ‘tegur’ dengannya.
“Biasalah, belum ‘panas’ lagi. Jadi apabila tak sampai tahap kepuasannya sebagai pengarah, dia akan terus cabar dan minta saya keluarkan lagi sisi ‘jahat’ Kak Ju. Semua itu saya anggap cabaran dan proses mewarnakan lagi karakter. Lama kelamaan sudah masuk ‘roh’ Kak Ju.
“Sisi lain, saya kagum dan harus memujinya. Dia jenis pengarah yang nak kita nampak ‘cantik’ di skrin. Dia sangat komited dan bagus dalam menjaga perkembangan karakter pelakon dari bintang utama sampailah ‘tambahan’,” katanya.
Di hujung bicara, Che Ta menjelaskan dirinya seperti menumpang tuah drama yang diadaptasi novel judul sama nukilan Rissa Ahdiya.
“Buat atau hasilkan drama ini saya percaya berbalik kepada tuah, rezeki dan masa. Kadang-kadang jalan cerita bagus dan pelakon hebat pun bukan tiket jaminan sesebuah drama itu akan ‘boom’.
“Tapi syukur drama ini diterima dan mendapat sambutan baik. Ia sekali gus mengukuhkan trek rekod produksi ini yang pernah tukar dengan drama seperti Mandul Bukan Pilihan, Curang Tanpa Niat dan Layang-Layang Perkahwinan.
“Lebih mengujakan penulis skrip drama ini olahan Oka Aurora dari Indonesia yang pernah meledak dengan karya kontroversi seperti Ipar Adalah Maut selain Norma, Antara Mertua dan Menantu,” katanya.
Selain Che Ta, drama 28 episod itu turut menampilkan lakonan hebat Nad Zainal, Kamal Adli, Izzue Islam, Riz Amin dan Mimi Ernida. – THE VOKAL