Asyraf Wajdi teruja sepentas dengan Abdul Hadi, semangat permuafakatan jadi tumpuan
Pertemuan dua pemimpin utama UMNO dan Pas, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki serta Tan Sri Abdul Hadi Awang, mencuri perhatian apabila kedua-duanya berada di pentas sama pada Ceramah Grand Finale sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, malam tadi.
Momen berkenaan dilihat membawa mesej kebersamaan apabila Setiausaha Agung UMNO itu meluahkan rasa teruja dapat bersama Presiden Pas berkenaan dalam program kempen yang turut menghimpunkan jentera Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).
Menerusi perkongsian di media sosial, Asyraf Wajdi turut berharap semangat permuafakatan yang ditunjukkan pada malam berkenaan dapat terus diperkukuh demi kepentingan agama, bangsa dan tanah air.
Menurutnya, beliau terlebih dahulu menghadiri ceramah bersama penduduk tempatan di Bilik Gerakan PDM Bukit Lintang, DUN Ayer Molek sebelum meneruskan perjalanan ke Ceramah Grand Finale PN dan BN.
Beliau turut melahirkan rasa teruja melihat kehadiran orang ramai yang memenuhi ruang dewan serta kawasan perkarangan program berkenaan.
“Teruja melihat lautan biru yang hadir memenuhi segenap ruang dan perkarangan dewan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mendoakan agar segala urusan dipermudahkan Allah SWT selain berharap semangat kebersamaan tersebut menjadi pembakar semangat kepada seluruh jentera parti menjelang PRN Melaka yang berlangsung 14 November ini. – THE VOKAL