Kris Dayanti sampaikan salam Megawati kepada Dr Wan Azizah
PENYANYI popular dan ahli politik Indonesia, Kris Dayanti meluahkan rasa terharu dan penghargaan atas sambutan hangat serta sokongan tidak berbelah bahagi rakyat Malaysia sepanjang perjalanan seninya.
Menerusi perkongsian di media sosial, Kris Dayanti menyifatkan muzik sebagai medium istimewa yang mampu menyatukan pelbagai generasi, selain menghidupkan kenangan dan membuka ruang kepada kreativiti baharu.
“Betapa indahnya ketika muzik mampu mempertemukan generasi, merawat kenangan, sekaligus membuka ruang bagi kreativiti baru,” katanya.
Penyanyi itu turut merakamkan ucapan terima kasih kepada rakyat Malaysia atas sambutan mesra dan kasih sayang yang terus diterimanya sepanjang bergelar anak seni.
“Terima kasih Malaysia, untuk sambutan hangat dan cinta yang tak pernah berubah sepanjang perjalanan muzik saya,” tulisnya.
Dalam perkongsian sama, Kris Dayanti turut menyampaikan salam hormat kepada isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta seluruh rakyat Malaysia.
Malah, beliau mendedahkan pertemuannya dengan Dr Wan Azizah turut membawa salam daripada Presiden Kelima Indonesia merangkap Ketua Umum Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P), Megawati Soekarnoputri.
Perkongsian itu sekali gus memperlihatkan hubungan baik yang terjalin serta penghargaan Kris Dayanti terhadap Malaysia yang sentiasa memberikan sokongan kepada perjalanan seni dan karya muziknya merentasi zaman. – THE VOKAL