‘Nak Raya Tapi Duit Tak Ada!’… Baby Shima Dedah Kisah Realiti Dalam Raya Duit Berentak Dangdut
Penyanyi popular Baby Shima tampil dengan pendekatan berbeza untuk musim perayaan tahun ini menerusi lagu raya terbaharunya berjudul Raya Duit, yang kini mendapat sambutan hangat pendengar.

Menurut Baby Shima, lagu ciptaan sepenuhnya Amy Ukays ini diinspirasikan daripada situasi sebenar yang sering berlaku setiap kali menjelang Hari Raya Aidilfitri apabila ada yang mula pening memikirkan soal kewangan kerana pelbagai perkara perlu dibeli.
“Bila dah nak dekat raya, memang ramai pening fikir pasal duit. Setiap tahun mesti ada benda nak beli, macam baju raya, kuih raya, nak beri duit raya lagi dan macam-macam lagi,” katanya.

Bagaimanapun jelasnya, mesej utama lagu itu bukan sekadar tentang masalah kewangan, sebaliknya mengingatkan bahawa kemeriahan raya tidak sepatutnya diukur dengan wang semata-mata.
“Walaupun duit tak banyak, raya tetap raya. Apa yang penting kita masih boleh bergembira, berkumpul dengan keluarga dan raikan hari yang istimewa bersama.
“Menariknya, lagu Raya Duit turut diselitkan elemen humor yang dekat dengan jiwa masyarakat kita, termasuk situasi apabila saudara-mara datang beraya dan mula bertanya pelbagai soalan.
“Biasalah bila hari raya, mesti ada makcik-makcik ‘kepoh’ yang datang rumah dan tanya macam-macam soalan. Itu antara perkara yang saya masukkan dalam lagu ini sebab ia memang dekat dengan pengalaman ramai orang,” jelasnya.

Dari segi muzik pula, Baby Shima memilih rentak dangdut yang rancak sesuai dengan suasana hari raya yang lebih ceria dan menghiburkan.
“Gabungan lirik yang santai dengan irama dangdut menjadikan lagu Raya Duit tampil dengan kelainan dan sekali gus memberi warna baharu kepada senarai lagu raya tempatan,” tambahnya lagi.

Menerusi mesej yang dekat dengan realiti kehidupan serta elemen humor yang menghiburkan, Raya Duit dilihat berpotensi menjadi antara lagu pilihan pendengar sepanjang musim raya tahun ini. – THE VOKAL