Zoey Rahman, Elliza Razak Pertaruh Lagu Raya ‘Kita Dah Raya’… Chemistry Lama Bawa Rezeki!
Pelakon, pengacara dan usahawan terkenal, Zoey Rahman tidak pernah menyangka dirinya mampu menulis lirik lagu, apatah lagi untuk sebuah lagu raya.
Segalanya bermula apabila pengurusnya, Zafar, meminta Zoey menulis beberapa gambaran ringkas mengenai suasana Hari Raya dari perspektif generasi muda, khususnya Gen Z yang sedang bercinta.
“Pada awalnya pengurus saya hanya suruh saya tulis point-point tentang suasana raya untuk Gen Z yang sedang bercinta.
“ Bila siap, saya serahkan kepada dia. Rupanya dia ubah sedikit ayat dan terus hantar kepada komposer, Riaraiba.
“Keesokan harinya dia WhatsApp saya dan kata ini demo lagu raya, tapi saya kena nyanyi dan perlu berduet. Masa tu otak saya memang ‘jem’ sekejap,” katanya sambil ketawa.
Namun selepas mendengar demo lagu tersebut beberapa kali, Zoey akhirnya bersetuju untuk mencuba.
“Bila saya dengar dua kali, saya terus rasa lagu ini sedap. Jadi saya fikir, why not cuba?” katanya.
Pada peringkat awal, pihak pengurusan mencadangkan penyanyi Anis Suraya sebagai pasangan duet.
Selepas mendengar demo, Anis turut memuji lagu tersebut dan menyifatkannya sebagai sebuah lagu yang “comel”.
Namun disebabkan kekangan masa serta beberapa perkara yang perlu dibincangkan, Zoey dan pasukannya akhirnya mencari penyanyi lain bagi menjayakan projek tersebut.
Nama Elliza Razak kemudian dipilih sebagai pasangan duet dan kedua-duanya segera memulakan persiapan rakaman.
Proses rakaman lagu berjudul Kita Dah Raya mengambil masa hampir enam jam untuk disiapkan di Platinum Studio, Damansara Perdana dengan bantuan jurutera bunyi Mr Choy serta jurulatih vokal Nine Phyne Ballerz.
Menurut Elliza, dia sendiri tidak mengambil masa lama untuk menerima tawaran tersebut kerana sudah lama berkawan dengan Zoey.
“Zafar telefon saya dan tanya sama ada saya nak join projek ‘gila’, projek last minute. Bila dia beritahu ini lagu raya dan saya akan berduet dengan Zoey, saya terus rasa teruja sebab kami kawan lama yang sudah lama tak berjumpa.
“Bila jumpa semula, semua kenangan lama keluar satu persatu. Disebabkan kami memang rapat, chemistry untuk berduet tu memang sudah ada,” katanya.
Elliza turut membantu memberi panduan vokal kepada Zoey sepanjang sesi rakaman.
“Pada awalnya Zoey agak nervous, tapi lama-kelamaan dia mula selesa dan proses rakaman pun jadi lebih mudah,” katanya.
Lagu Kita Dah Raya, ciptaan Riaraiba dengan lirik oleh Zoey Rahman, telah dilancarkan di semua platform digital bermula 6 Mac 2026.
Video muzik lagu tersebut pula bakal menjalani penggambaran di studio Rusa Music sebelum dilancarkan di saluran YouTube rasmi mereka dalam masa terdekat.
Zoey berharap lagu tersebut mampu menceriakan sambutan Aidilfitri tahun ini.
“Kalau dulu kita selalu dengar lagu raya klasik seperti Suasana Hari Raya nyanyian Anuar Zain dan Ellina, tahun 2026 biarlah pula lagu raya gabungan Zoey dan Elliza menghiburkan semua.
“Harapan kami semoga Kita Dah Raya mendapat tempat di hati semua peringkat umur dan mungkin menjadi antara lagu raya yang malar segar,” katanya. – THE VOKAL