Konsert OG Kristal 25 tahun… Semua Ahli Satu Pentas
Bukan mudah untuk bertahan dalam dunia muzik. Namun sejak 25 tahun lalu, Kristal memulakan perjalanan yang kini membuktikan bahawa persahabatan, semangat, dan cinta pada muzik mampu mencipta legasi yang kekal dalam hati peminat.
Dua setengah dekad yang lalu, sekumpulan anak muda memulakan langkah mereka dengan sebuah impian sederhana.
Ketika itu, tiada pentas besar, tiada sorotan lampu yang gemerlapan, dan tiada jaminan kejayaan. Yang ada hanyalah muzik dan ikatan persahabatan yang menjadi asas kepada perjalanan mereka.
Bermula dari studio kecil dan persembahan gig bawah tanah, kumpulan ini perlahan-lahan membina nama dalam industri muzik tanah air.
Dengan semangat yang tidak pernah luntur, mereka akhirnya muncul sebagai salah satu kumpulan rock yang meninggalkan kesan tersendiri dalam landskap muzik Malaysia.
Sepanjang 25 tahun perjalanan tersebut, Kristal melalui pelbagai detik yang membentuk identiti mereka hari ini.
Lagu-lagu mereka menjadi siulan peminat, album-album yang dihasilkan menemani zaman remaja ramai pendengar.

Manakala persembahan pentas mereka juga sering disambut sorakan dan sokongan yang tidak pernah pudar, membuktikan muzik mereka terus hidup dalam hati peminat.
Kini, selepas 25 tahun, sebuah malam istimewa bakal menghidupkan kembali semua kenangan tersebut menerusi KRISTAL OG CONCERT – 25 Tahun Dalam Satu Malam.
Konsert ini bukan sekadar sebuah persembahan muzik biasa. Ia merupakan malam yang didedikasikan untuk mengimbau nostalgia bersama seleksi lagu yang pernah membesar bersama peminat.
“Konsert kali ini adalah berlainan dengan konsert Kristal sebelum ini. Kami akan ‘all out’, dengan saya akan menyanyikan lagu-lagu yang pernah dirakam dari Album pertama sehingga album yang ke-13.
“Lagu-lagu dalam album tersebut termasuklah yang dianggotai oleh ahli lain iaitu Rody, Izal, Joe, Acap, Amai, Ainol, Rijal dan ramai lagi anak beranak Kristal dalam album itu.
“Jadi semua ini kami akan bawakan di pentas konsert OG nanti pada 1 Mei depan di Zepp Kuala Lumpur.
“Signifikan 25 tahun Kristal ini adalah perjalanan seni Lan Solo Bersama Kristal dari zaman kanak-kanan sehinggalah kini, merangkumi perjalanan selama 25 tahun.
“Sepanjang kami terbitkan album sebanyak 13 album, ahli anggota kami ada yang bertukar-tukar tetapi konsep dan genre muzik tetap sama saja dan hanya dinyanyikan oleh Lan Solo.
“Jatuh bangun perjalanan Kristal sepanjang 25 tahun ini kami telah lalui pelbagai cabaran, dugaan, sedih, gembira, rakan Kumpulan yang bertukar-tukar tetapi ia tidak mematahkan semangat kami untuk berkarya dan kekal relevan,” kata Lan, mewakili Kristal.

Konsert Kristal OG 25 Tahun ini dianjurkan oleh Pertubuhan Kasih KhaiRosma dengan kerjasama penganjur acara Blavia dan Andromeda Event.
Tiket telah mula dijual dan tempat adalah terhad.
Peminat yang ingin menjadi sebahagian daripada malam bersejarah ini boleh mendapatkan tiket melalui pautan rasmi https://blaviaofficial.com/pages/kristalog
KRISTAL OG CONCERT… 25 tahun perjalanan. Satu malam yang akan diingati selamanya. – THE VOKAL