Siti Nurhaliza Raih Dua Pengiktirafan ASEAN dan Asia Records, Konsert Himpun 145,000 Penonton
BIDUANITA Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza terus mengukuhkan kedudukannya dalam industri muzik apabila dua konsert solonya berjaya melakar pencapaian tersendiri sehingga mendapat pengiktirafan ASEAN Records dan Asia Records.
Lebih membanggakan, kedua-dua konsert berkenaan iaitu Legasi 30 dan Gema Bumantara berjaya menarik kehadiran keseluruhan 145,000 penonton dalam tempoh 10 bulan.
Pencapaian itu melayakkan Siti menerima pengiktirafan bagi rekod jumlah penonton gabungan terbesar menerusi dua konsert solo stadium oleh artis rakaman berbahasa Melayu.

Dalam perkembangan sama, Konsert Gema Bumantara turut mencipta sejarah tersendiri apabila menghimpunkan seramai 73,000 penonton.
Konsert yang berlangsung pada 17 Oktober lalu itu menampilkan keistimewaan muzik tradisional menerusi persembahan 34 lagu selama tiga jam 30 minit.
Ia sekali gus melayakkan penyanyi itu menerima pengiktirafan sebagai artis rakaman wanita dengan konsert solo muzik tradisional terbesar dan kehadiran penonton paling ramai.
Terdahulu, Konsert Legasi 30 yang berlangsung pada 10 Januari lalu turut menyumbang kepada pencapaian berkenaan menerusi kehadiran penonton yang memberangsangkan.
Kesemua pengiktirafan tersebut disampaikan pada Malam Apresiasi Konsert Legasi 30 dan Konsert Gema Bumantara yang berlangsung malam tadi.