Tahanan Rumah Najib Ditangguhkan Sementara, AGC Teliti Persoalan Undang-Undang
PELAKSANAAN tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ditangguhkan sementara bagi membolehkan Jabatan Peguam Negara (AGC) meneliti beberapa persoalan perundangan berhubung Perintah Pengampunan Bersyarat dan kesan perintah mahkamah.
AGC dalam kenyataan memaklumkan, penelitian itu melibatkan tafsiran syarat pembayaran denda RM50 juta, sama ada ia hanya menyelesaikan hukuman denda atau turut menyebabkan hukuman penjara bagi kes SRC International dianggap selesai.



Menurut AGC, perkara itu penting kerana terdapat perbezaan tafsiran mengenai status baki hukuman penjara Najib sehingga 23 Ogos 2028, termasuk sama ada tahanan rumah merupakan kaedah alternatif menjalani baki hukuman atau hukuman penjara telah selesai sepenuhnya.
Isu berkenaan turut memberi kesan kepada pelaksanaan hukuman penjara bagi kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang sepatutnya bermula selepas hukuman bagi kes SRC International selesai.
Sehubungan itu, AGC berpandangan penjelasan undang-undang yang muktamad perlu diperoleh sebelum sebarang tindakan lanjut dilaksanakan.
Bagaimanapun, AGC menegaskan penangguhan berkenaan bukan bertujuan mempertikaikan titah Yang di-Pertuan Agong, sebaliknya bagi memastikan pelaksanaannya dibuat dengan tepat dan selaras dengan kedudukan undang-undang.
Dalam tempoh itu, status penahanan Najib akan dikekalkan di tempat tahanan sedia ada sehingga penelitian selesai.
Dalam perkembangan berkaitan, UMNO sebelum ini mengesahkan kutipan Tabung Solidariti Najib Razak mencapai sasaran, sekali gus membolehkan pembayaran denda RM50 juta kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diselesaikan pada pagi Jumaat.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, susulan itu akaun khas tabung berkenaan yang dilancarkan pada 18 September lalu ditutup secara rasmi. – THE VOKAL