AADK perkenal AIDA, tidak perlu tunggu waktu pejabat untuk dapatkan maklumat
AGENSI Antidadah Kebangsaan (AADK) memperkenalkan Chatbot AIDA, pembantu digital yang beroperasi 24 jam sehari bagi memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat berkaitan perkhidmatan agensi itu dengan lebih pantas dan mudah.
Menerusi inisiatif berkenaan, masyarakat kini boleh mengemukakan pelbagai pertanyaan berkaitan AADK melalui platform interaktif itu tanpa perlu terikat dengan waktu operasi pejabat.
Menurut AADK menerusi satu kenyataan di Facebook, Chatbot AIDA menyediakan maklumat merangkumi program pencegahan, perkhidmatan rawatan dan pemulihan dadah serta pelbagai perkara lain berkaitan fungsi dan perkhidmatan agensi berkenaan.
Menariknya, kemudahan itu boleh diakses sepanjang masa, termasuk di luar waktu pejabat, sekali gus memberi peluang kepada masyarakat mendapatkan maklumat yang diperlukan pada bila-bila masa.
Bagi menggunakan perkhidmatan tersebut, orang ramai hanya perlu melayari portal rasmi AADK di www.aadk.gov.my sebelum mengklik ikon avatar AIDA yang terletak di sudut bawah kanan skrin.
Pengguna seterusnya boleh memulakan perbualan dengan menaip soalan atau pertanyaan berkaitan perkhidmatan AADK.
Inisiatif itu mencerminkan usaha berterusan AADK dalam memperkukuh pendigitalan penyampaian perkhidmatan awam, selain memperluas akses masyarakat terhadap maklumat berkaitan pencegahan, rawatan dan pemulihan dadah.
Melalui pengenalan Chatbot AIDA, AADK berharap urusan mendapatkan maklumat menjadi lebih mudah, pantas dan mesra pengguna, selaras dengan perkembangan teknologi digital serta keperluan masyarakat masa kini. – THE VOKAL