Netizen pelik, isu asal ayam disembelih selepas mati… Mengapa Gardenia pula dipersoalkan?
Isu dakwaan ayam disembelih selepas mati yang tular dan kecoh diperkatakan di media sosial terus mengundang pelbagai reaksi apabila sebahagian netizen mempersoalkan tindakan mengaitkannya dengan produk roti Gardenia.
Menerusi satu hantaran yang tular, seorang pengguna media sosial mempersoalkan perkara yang dibangkitkan apabila menulis, ‘Ayam disembelih selepas mati. Yang dipertikaikan Gardenia roti. ‘
Hantaran berkenaan mencetuskan perbincangan dalam kalangan pengguna media sosial yang rata-ratanya mempersoalkan sama ada isu berkenaan mempunyai kaitan dengan Gardenia atau sekadar mengalihkan perhatian daripada persoalan sebenar.
Antara komen yang mendapat perhatian ialah dakwaan bahawa isu Gardenia sengaja dibangkitkan bagi menutup persoalan berhubung bangkai ayam yang didakwa belum dikenal pasti pemiliknya serta belum diselesaikan.
Malah, ada netizen berpendapat tindakan mengaitkan Gardenia dalam polemik berkenaan seolah-olah memberi gambaran negatif terhadap sebuah jenama tempatan yang selama ini menjadi pilihan pengguna.
“Ni satu teknik nak jatuhkan produk dan bisnes orang Melayu Islam. Mana yang Melayu punya pasti akan diganggu-gugat. Bab ayam juga begitu, sekarang dengan roti pula,” tulis netizen.
Seorang lagi netizen pula menyifatkan situasi berkenaan sebagai usaha mengalihkan perhatian masyarakat Islam daripada isu asal.
“Pandai mereka nak alihkan perhatian rakyat beragama Islam,” tulisnya.
Tidak kurang juga yang mengaitkan perkembangan itu dengan kebimbangan terhadap penyebaran fitnah apabila seorang pengguna menyifatkan keadaan berkenaan sebagai sebahagian daripada ‘fitnah Dajjal’ yang semakin berleluasa.
Apa yang jelas, orang ramai mahukan penjelasan yang telus mengenai isu sebenar yang menjadi perbualan, iaitu status dakwaan ayam yang disembelih selepas mati. – THE VOKAL
Foto: Janaan AI