JAKIM teliti dakwaan ritual pemujaan dalam Konsert The Weeknd
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyiasat dakwaan persembahan konsert The Weeknd di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 4 dan 5 November lalu mengandungi unsur bercanggah akidah Islam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hassan berkata, pihaknya sedang berhubung dengan Urus Setia Garis Panduan Jawatankuasa Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) bagi mengesahkan kesahihan dakwaan berkenaan serta pematuhan syarat persembahan.
Menurut beliau, Islam secara tegas melarang sebarang bentuk unsur pemujaan selain Allah SWT.
“Semua pihak perlu memastikan agar persembahan seni tidak menimbulkan kekeliruan berkaitan akidah, akhlak dan sensitiviti agama di Malaysia,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Beliau turut menegaskan tindakan tegas berlandaskan undang-undang dan fakta sahih akan diambil bagi memastikan setiap persembahan artis, sama ada dalam mahupun luar negara, sentiasa memelihara sensitiviti agama, budaya serta ketenteraman awam.
Kenyataan itu dilihat sebagai penegasan bahawa aspek pematuhan garis panduan dan sensitiviti masyarakat perlu diberikan perhatian dalam penganjuran persembahan hiburan di negara ini. – THE VOKAL