Warga asing serang anggota polis ketika bertugas, Anwar gesa tindakan tegas
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam keras insiden serangan membabitkan seorang warga asing terhadap anggota polis yang sedang menjalankan tugas di Kepong, Kuala Lumpur, petang Rabu.
Menerusi kenyataan di Facebook, Anwar menegaskan bahawa sebarang bentuk jenayah dan keganasan, khususnya terhadap anggota penguat kuasa yang menjalankan amanah melindungi keselamatan rakyat, sama sekali tidak boleh diterima.
“Saya mengecam keras insiden serangan oleh seorang warga asing terhadap anggota polis yang sedang menjalankan tugas di Kepong dan mendoakan agar anggota terbabit segera diberikan kesembuhan,” katanya.
Anwar berkata, tindakan tegas mesti diambil terhadap mana-mana individu yang melakukan jenayah tanpa mengira siapa pelakunya.
Langkah itu penting bagi mempertahankan kedaulatan undang-undang selain menjamin keselamatan anggota penguat kuasa yang bertugas.
Beliau turut mendoakan agar anggota polis terbabit segera pulih daripada kecederaan yang dialami. – THE VOKAL