Noraniza Idris, EMYALY bergabung angkat batik Terengganu ke pentas fesyen moden
KEINDAHAN batik Terengganu terus diberi nafas baharu apabila Ratu Irama Malaysia, Noraniza Idris berganding tenaga dengan jenama fesyen tempatan, EMYALY menerusi kolaborasi eksklusif bagi mengangkat warisan seni tekstil negeri itu ke persada fesyen kontemporari.
Kerjasama menerusi koleksi EMYALY x Noraniza Idris itu menggabungkan kehalusan seni tradisional dengan sentuhan moden melalui empat rekaan istimewa berteraskan tema Warisan, Seni dan Kemewahan.

Kolaborasi berkenaan bukan sahaja memberi tumpuan kepada busana wanita, malah turut mengetengahkan pilihan pakaian lelaki dengan motif batik yang diinspirasikan daripada persalinan warisan, sekali gus membuktikan seni batik mampu digayakan merentasi jantina dan generasi.
Pengasas EMYALY, Emy Mohd. Ali yang juga anak jati Terengganu berkata, jenama itu meletakkan keutamaan terhadap kehalusan batik buatan tangan tempatan yang mencerminkan mutu pertukangan serta nilai seni warisan bangsa.
Menurutnya, batik tidak seharusnya dilihat sekadar corak pada helaian kain, sebaliknya mempunyai nilai tersendiri sebagai hasil seni yang melambangkan identiti dan jiwa masyarakat Melayu.
“Bagi pihak kami, batik bukan sekadar corak pada kain, sebaliknya ia merupakan satu hasil pertukangan yang bernilai, warisan bangsa, dan juga jiwa.
“EMYALY tidak mengejar trend semasa semata-mata, sebaliknya kami fokus mengangkat seni warisan.
“Kami mahu mencipta karya fesyen yang terus dihargai merentasi pelbagai generasi dan tidak terikat dengan musim tertentu sahaja,” katanya.


Menerusi kolaborasi itu, empat rekaan eksklusif diperkenalkan iaitu Salam Kaut, Sinara, Dikir Puteri dan Hati Kama yang masing-masing membawa identiti serta gaya tersendiri.
Salam Kaut merupakan busana klasik dengan perincian poket di bahagian hadapan yang ditawarkan pada harga RM489, manakala Sinara tampil dengan potongan moden berkonsepkan baggy pada harga antara RM280 hingga RM320.
Turut diperkenalkan ialah Dikir Puteri, padanan baju dan seluar palazzo yang dijual pada harga RM480 serta Hati Kama, kardigan batik versatil bernilai RM299.

Berteraskan falsafah Where Heritage Becomes Couture, koleksi berkenaan membawa misi mempersembahkan keindahan batik dalam gaya lebih moden, segar dan eksklusif tanpa menghilangkan identiti asal warisan tersebut.
Bagi Noraniza, usaha memartabatkan warisan Melayu merupakan perjuangan berterusan yang perlu diberi perhatian agar khazanah seni bangsa tidak sekadar menjadi peninggalan sejarah, sebaliknya terus hidup dan berkembang mengikut peredaran zaman.
Terdahulu, majlis pelancaran koleksi kolaborasi EMYALY x Noraniza Idris disempurnakan dengan penuh istiadat oleh Che Puan Hezeita Mohd Hafidz. – THE VOKAL