Polis beri amaran jangan buat spekulasi kes berbalas tembakan di Ipoh
ORANG ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian berbalas tembakan antara polis dan seorang lelaki tempatan yang maut dalam operasi cegah jenayah di Jalan Persiaran Lembah Perpaduan, Ipoh, Perak, awal pagi ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, CP Datuk M. Kumar A/L S. Muthuvelu berkata, kes berkenaan masih dalam siasatan dan sebarang tindakan menyebarkan maklumat tidak sahih boleh mengganggu proses siasatan.


Menurutnya, orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak memanipulasi fakta sehingga mencetuskan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi atau membuat sebarang komen yang boleh mengganggu proses siasatan atau memanipulasi fakta dengan tujuan menyebabkan kegusaran kepada masyarakat,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi, sepasukan polis daripada JSJ Bukit Aman dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak sedang menjalankan rondaan cegah jenayah samun sebelum bertindak menahan sebuah kenderaan dipandu suspek.
Bagaimanapun, lelaki terbabit keluar dari kenderaan untuk melarikan diri sebelum melepaskan beberapa das tembakan ke arah pasukan polis.
Anggota polis kemudian membalas tembakan bagi menyelamatkan diri dan menghapuskan ancaman keselamatan.
Suspek yang merupakan warga tempatan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan kira-kira jam 3.40 pagi, manakala sepucuk pistol ditemukan berhampiran mayatnya.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
Dalam perkembangan sama, satu sidang media dijadualkan berlangsung di IPK Perak pada jam 3 petang ini bagi membolehkan pihak polis memberikan penjelasan lanjut mengenai insiden berkenaan. – THE VOKAL