Cinta terlarang bapa saudara, anak saudara jadi taruhan Wali Dalam Tangisan
Hubungan kekeluargaan yang bertukar menjadi dilema perasaan menjadi taruhan drama terbaharu Viu Original, Wali Dalam Tangisan (Tears Between Us), yang bakal mencetuskan pelbagai emosi penonton menerusi kisah cinta terlarang.
Dibintangi Jazmy Juma dan Ezzanie Jasny, drama 12 episod itu mengangkat kisah Alif dan Suraiya, pasangan bapa saudara serta anak saudara yang membesar bersama meskipun hanya mempunyai perbezaan usia empat tahun.
Segalanya mula berubah apabila Alif memperkenalkan teman wanitanya, Marsya lakonan Syad Mutalib kepada keluarga.
Suraiya yang selama ini menganggap Alif sebagai individu paling rapat dalam hidupnya mula berdepan perasaan cemburu, sebelum menyedari dirinya menyimpan perasaan yang tidak sepatutnya wujud.
Lebih mengejutkan, Alif sebenarnya turut menyimpan perasaan sama, namun memilih untuk memendamkannya demi menjaga batas hubungan kekeluargaan.
Konflik semakin memuncak apabila kematian mengejut ibu saudara Suraiya yang juga kakak kepada Alif mengubah kehidupan mereka.
Dalam keadaan keluarga masih berdepan kesedihan, Alif dan Suraiya perlu menentukan sama ada mahu mengikut kata hati atau mengorbankan perasaan sendiri demi mempertahankan hubungan kekeluargaan.
Drama yang mula ditayangkan pada 19 November ini turut menandakan penampilan sulung Jazmy dan Ezzanie dalam siri Viu Original.
Naskhah arahan Riza Baharudin dan Jamal Khan itu menampilkan skrip tulisan Liza Nur, selain dibintangi Haidar Hasanudin dan Syad Mutalib.
Menambahkan lagi kekuatan penceritaan, Khai Bahar dipilih menyampaikan lagu tema berjudul Cinta Terlarang yang menggambarkan pergolakan emosi serta konflik percintaan dalam drama berkenaan.
Wali Dalam Tangisan merupakan drama romantik kekeluargaan yang menjadi penutup barisan penerbitan Viu Original tahun ini.
Dalam masa sama, Viu turut menawarkan pakej langganan gabungan bersama iQIYI International yang membolehkan penonton mengakses pelbagai kandungan premium Asia pada harga bermula RM19.90 sebulan. – THE VOKAL