‘Tiada kata mampu gambarkan kesedihan keluarga mangsa’… Fadhlina arah siasatan telus
“TIADA kata-kata yang mampu menggambarkan kesedihan yang sedang ditanggung keluarga mangsa.”
Demikian luahan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek susulan kejadian kematian seorang murid Tingkatan Tiga di sebuah sekolah berasrama penuh di Kuala Kangsar, Perak, pada Rabu.
Beliau berkata, kehilangan seorang anak bukan sesuatu yang mudah ditanggung keluarga, justeru menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa.
“Saya amat memahami betapa beratnya kehilangan seorang anak. Tiada kata-kata yang mampu menggambarkan kesedihan yang sedang ditanggung keluarga mangsa. Salam takziah saya ucapkan kepada seluruh ahli keluarga,” katanya menerusi kenyataan.
Dalam masa sama, Fadhlina menegaskan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memandang serius kejadian berkenaan dan akan memberikan kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan siasatan dilakukan secara menyeluruh serta telus.
Katanya, kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran kawasan kejadian disahkan berfungsi dengan baik dan rakamannya sudah diserahkan kepada pihak polis untuk membantu siasatan.
“Pemeriksaan bedah siasat oleh pihak forensik pula dijadualkan pada jam 9.00 pagi esok,” katanya.
Selain itu, beberapa pentadbir dan guru sekolah berkenaan diberikan pelepasan tugas sementara bagi membantu siasatan, manakala Jemaah Nazir diarahkan hadir ke sekolah esok untuk meneliti aspek pengurusan dan pematuhan tatacara keselamatan.
Bagi memastikan kebajikan serta kesejahteraan warga sekolah terus diberikan perhatian, murid yang tidak terlibat dengan peperiksaan akan dibenarkan pulang pada Jumaat, 20 November 2026.
Fadhlina berkata, bantuan psikososial juga sudah disalurkan kepada mereka yang terkesan dengan kejadian itu.
“Saya baru sahaja selesai mengadakan perbincangan dengan pihak-pihak berkaitan susulan kejadian kematian seorang murid Tingkatan Tiga di sebuah sekolah berasrama penuh di Kuala Kangsar, Perak,” katanya.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak dan Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh (BPSBP) turut tiba di lokasi bagi menyelaras tindakan segera.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan KPM tidak akan berkompromi sekiranya hasil siasatan mendapati berlaku kecuaian atau pelanggaran prosedur keselamatan.
Dalam pada itu, Fadhlina meminta orang ramai supaya tidak membuat spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan serta menambah kesedihan keluarga mangsa.
“Saya menyeru semua pihak agar tidak membuat spekulasi dan menghormati privasi keluarga mangsa. Berikan ruang kepada pihak berkuasa untuk melengkapkan siasatan,” katanya.
Beliau turut berharap keluarga mangsa terus diberikan kesabaran dan kekuatan dalam menghadapi ujian berat berkenaan. – THE VOKAL