19 lagu galau D’MASIV, penonton hanyut dalam nostalgia
BUKAN sekadar persembahan muzik, konsert jelajah Asia Home Run kumpulan popular Indonesia, D’MASIV membawa kira-kira 4000 penonton menyelami kembali pelbagai kisah cinta, kerinduan dan kekecewaan menerusi rangkaian lagu yang cukup dekat dengan kehidupan pendengar.
Konsert yang berlangsung pada Jumaat di Mega Star Arena, Kuala Lumpur ini menyaksikan D’MASIV menyampaikan sebanyak 19 lagu yang kebanyakannya mempunyai elemen galau dan sarat dengan penghayatan emosi.
Antara lagu yang menjadi perhatian termasuk Pergilah Kasih, Jangan Menyerah, Rindu Setengah Mati dan Cinta Ini Membunuhku yang sehingga kini masih mempunyai tempat istimewa dalam kalangan peminat.
Lagu-lagu berkenaan bukan sahaja mengimbau nostalgia pendengar, malah menghidupkan suasana apabila penonton turut menyanyi bersama-sama mengikut setiap bait lirik yang dipersembahkan.
Keupayaan D’MASIV menggabungkan lagu-lagu popular yang pernah mencetuskan fenomena dengan karya baharu turut menjadikan persembahan mereka lebih bervariasi.
Kumpulan yang diterajui vokalisnya, Rian Ekky Pradipta itu turut dianggotai Dwiki Aditya Marsall, Nurul Damar Ramadan (gitar), Rayyi Kurniawan Iskandar Dinata (bass) serta Wahyu Piadji (dram).
Lebih mengujakan, konsert anjuran Neptunes Presents bersama Antara Suara itu turut menampilkan dua artis undangan iaitu penyanyi Malaysia, Noh Salleh dan penyanyi muda dari Brunei, Aziz Harun.
Rian turut bergandingan dengan Aziz menerusi lagu Merindukanmu yang mengajak penonton menyanyi bersama, sekali gus menambahkan kemeriahan persembahan.
Kehadiran Noh dan Aziz melengkapkan pengalaman muzik pada malam berkenaan, selain memberikan variasi kepada persembahan D’MASIV yang dipenuhi lagu-lagu popular dan karya baharu.
Gabungan lagu-lagu malar segar, karya baharu serta kemunculan artis undangan menjadikan konsert tersebut sebuah pengalaman muzik yang bukan sahaja menghiburkan, malah menghidupkan kembali kenangan peminat terhadap perjalanan seni D’MASIV. – THE VOKAL