Khadam ungguli FFM35, menang Filem dan Pengarah Terbaik
FILEM Khadam mencuri perhatian pada Festival Filem Malaysia Ke-35 (FFM35) apabila bukan sahaja dinobatkan sebagai Filem Terbaik, malah pengarahnya, Shamyl Othman turut membawa pulang trofi Pengarah Terbaik.
Kejayaan berganda itu mengukuhkan kedudukan Khadam sebagai antara karya yang mencuri tumpuan pada malam kemuncak anugerah berprestij industri perfileman tanah air yang berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya, malam ini.
Lebih bermakna, kemenangan kategori Filem Terbaik membolehkan Komet Productions Sdn. Bhd. dan Red Communications Sdn. Bhd. menerima Dana Kandungan Kreatif (DKK) berjumlah RM1 juta, selain wang tunai RM5,000 serta trofi yang disampaikan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Pemberian dana berkenaan merupakan inisiatif Kementerian Komunikasi menerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bagi menyokong kesinambungan penghasilan karya kreatif tempatan, selain memperkukuh keupayaan penerbitan filem berkualiti dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Sementara itu, filem Badak turut mencipta kejayaan apabila pelakon utamanya, Shaheizy Sam dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik, manakala Aida Amron membawa pulang trofi Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem sama.
FFM35 turut menyaksikan pengiktirafan istimewa diberikan kepada dua figura seni berpengalaman, Ahmad Yatim dan Fauziah Ahmad Daud atau Ogy menerusi Anugerah Khas Sepanjang Zaman.
Pengiktirafan itu diberikan buat julung kalinya sebagai menghargai sumbangan serta legasi mereka dalam industri seni dan perfileman negara.
Selain itu, Panchacharam P. Nalliah atau Pansha menerima Anugerah Khas Karyawan atas sumbangannya kepada industri perfileman tempatan.
Mengangkat tema ‘Spektrum Sinema’, FFM35 meraikan kepelbagaian genre, budaya, bahasa, perspektif, teknologi dan generasi pembikin filem yang bersama-sama membentuk landskap sinema Malaysia.
Penganjuran kali ini turut mencatat sejarah apabila Istana Budaya dipilih buat pertama kali sebagai lokasi utama Festival Filem Malaysia, dengan Panggung Sari menjadi pentas kepada pengiktirafan karya dan penggiat industri perfileman tempatan.
Majlis anugerah itu disiarkan secara langsung menerusi TV2, Radio Televisyen Malaysia (RTM) selaku rakan penyiar rasmi.
FFM35 turut menghimpunkan penggiat industri seni dan perfileman daripada pelbagai generasi termasuk penerbit, pengarah, pelakon, tokoh seni veteran serta tenaga kreatif di belakang tabir.
Penganjuran festival itu mendapat sokongan rakan strategik termasuk HONOR Magic9 Pro Max, CAT, ZEEKR serta beberapa syarikat produksi tempatan.
Hadir sama, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah; Pengerusi FINAS, Hans Isaac dan Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Azmir Saifuddin Mutalib. – THE VOKAL