Tragedi kepala air: Tiga selamat, seorang wanita maut
SEORANG wanita berusia 21 tahun disahkan meninggal dunia dalam tragedi kepala air di Waterfall Puncak Jelapang, Meru Raya di Ipoh, Perak, yang membabitkan empat mangsa.
Kejadian itu melibatkan dua lelaki dan dua perempuan, dengan tiga daripada mereka berjaya diselamatkan manakala seorang lagi ditemukan meninggal dunia.
Mangsa yang meninggal dunia dikenal pasti sebagai Sneha a/p Puvanesan, 21, yang ditemukan orang awam pada jam 8.10 pagi dalam keadaan tersangkut pada batang pokok.
Lokasi penemuan mangsa terletak kira-kira 1.5 kilometer dari kawasan dia dipercayai dihanyutkan arus deras.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Perak, mangsa kemudian dibawa naik oleh anggota bomba sebelum diserahkan kepada pihak polis.
“Dalam kejadian ini, seramai empat orang mangsa terlibat, melibatkan dua lelaki dan dua perempuan. Tiga orang mangsa berjaya diselamatkan manakala seorang mangsa meninggal dunia,” menurut kenyataan itu.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) berkenaan melibatkan 14 anggota, iaitu sembilan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya serta lima anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Ipoh.
Operasi diketuai PBK I Suhaimi binti Ab Samad selaku Komander Operasi, manakala Komander Operasi Kanan ialah PgKB II Mohd Firdaus bin Daud yang juga Ketua Zon 1 Perak.
JBPM turut menggunakan sebuah jentera FRT, sebuah kenderaan EMRS dan sebuah kenderaan utiliti Hilux bagi membantu kelancaran operasi.
Dalam pada itu, JBPM Negeri Perak merakamkan penghargaan kepada semua agensi serta orang awam yang memberikan kerjasama sepanjang operasi berkenaan. – THE VOKAL