Skip to content
THE VOKAL THE VOKAL
  • Home
  • Semasa
  • Selebriti
  • Sensasi
  • Sohor
  • Santai
  • Stadium
  • Sembur
Untitled design (6)
  1. Home
  2. Semasa
  3. ‘Pesakit kronik jangan tunggu banjir, pastikan rawatan tidak terputus’ – Dr Afif
 ‘Pesakit kronik jangan tunggu banjir, pastikan rawatan tidak terputus’ – Dr Afif
Semasa

‘Pesakit kronik jangan tunggu banjir, pastikan rawatan tidak terputus’ – Dr Afif

by VOKALIS 22/11/2026 39

PESAKIT yang menghidap penyakit kronik perlu membuat persediaan lebih awal menjelang musim tengkujuh bagi memastikan bekalan ubat dan rawatan berkala tidak terjejas sekiranya banjir melanda.

Ketua Pegawai Eksekutif Al Farhain Medical Centre, Dr Afif Mohd Ridzwan berkata, pesakit darah tinggi, kencing manis, sakit jantung, asma serta mereka yang menjalani rawatan dialisis antara golongan yang perlu diberikan perhatian khusus ketika musim banjir.

Menurutnya, gangguan perjalanan, jalan terputus dan kesukaran mendapatkan akses ke pusat kesihatan boleh menyebabkan pesakit berdepan risiko komplikasi sekiranya rawatan atau pengambilan ubat tidak dapat diteruskan.

“Bagi pesakit darah tinggi, kencing manis, sakit jantung, asma dan penyakit kronik lain, pastikan bekalan ubat mencukupi sebelum banjir berlaku.

“Simpan ubat di tempat yang tinggi, kering dan mudah dicapai sekiranya perlu berpindah,” katanya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menggunakan ubat-ubatan yang sudah terkena air banjir tanpa mendapatkan nasihat doktor atau ahli farmasi.

Bagi pesakit yang menggunakan insulin pula, penyimpanan perlu mengikut arahan produk, terutama sekiranya berlaku gangguan bekalan elektrik.

Dr Afif berkata, pesakit dialisis merupakan antara golongan yang tidak boleh mengambil mudah persediaan menghadapi banjir kerana rawatan berkenaan perlu dilakukan secara berkala mengikut jadual ditetapkan.

“Rawatan dialisis bukan sesuatu yang boleh ditangguhkan sesuka hati.

“Jika jalan terputus atau pusat rawatan tidak dapat diakses, pesakit mungkin berdepan komplikasi serius akibat pengumpulan cecair dan gangguan elektrolit,” katanya.

Sehubungan itu, pesakit dan ahli keluarga disaran menghubungi pusat dialisis masing-masing lebih awal bagi menyusun jadual serta mengenal pasti pelan rawatan alternatif sekiranya berlaku kecemasan.

Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan pesakit diabetes supaya memberikan perhatian kepada penjagaan kaki, terutama ketika terpaksa berhadapan dengan air banjir.

Katanya, kerosakan saraf boleh menyebabkan pesakit kurang merasai kesakitan, manakala masalah peredaran darah boleh melambatkan penyembuhan luka.

Pesakit perlu memeriksa kaki setiap hari, memakai kasut yang sesuai dan mengelakkan luka daripada terkena air banjir yang berkemungkinan tercemar.

Sekiranya luka semakin merah, bengkak, bernanah, berbau atau bertukar kehitaman, pemeriksaan doktor perlu dilakukan dengan segera.

Selain pesakit kronik, ibu mengandung khususnya yang hampir dengan tarikh bersalin atau mempunyai kehamilan berisiko juga perlu merancang perjalanan mendapatkan rawatan lebih awal.

Dr Afif menasihatkan golongan berkenaan supaya menyediakan buku pink, ubat-ubatan, dokumen penting dan nombor telefon hospital bagi memudahkan urusan sekiranya perlu berpindah.

Jika laluan ke hospital berisiko terputus, mereka disaran berbincang dengan pasukan kesihatan mengenai pelan alternatif.

Sekiranya mengalami pendarahan, sakit perut yang kuat, air ketuban pecah atau pergerakan bayi berkurangan, rawatan perubatan perlu diperoleh dengan segera.

Beliau turut mengingatkan keluarga supaya tidak menunggu sehingga bekalan ubat habis atau keadaan kesihatan semakin merosot sebelum mendapatkan bantuan.

Selepas banjir pula, pesakit perlu terus memantau keadaan kesihatan masing-masing dan mendapatkan pemeriksaan sekiranya mengalami demam, cirit-birit, muntah, jangkitan kulit atau masalah pada luka.

“Musim bah bukan perkara baharu bagi kita. Tetapi jangan kerana kita sudah biasa menghadapi banjir, kita menganggap semua risiko kesihatan sebagai perkara kecil.

“Keselamatan nyawa tetap lebih penting daripada harta benda,” katanya.

Beliau berharap masyarakat mengambil serius persediaan kesihatan menjelang musim tengkujuh kerana langkah awal bukan sahaja dapat mengelakkan komplikasi, malah membantu memastikan rawatan penting dapat diteruskan walaupun berdepan situasi banjir. – THE VOKAL 

 

Share This:

Previous post

VOKALIS

editor

Leave a Reply Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

No comments to show.

Categories

  • Santai
  • Sebaris
  • Sedunia
  • Selebriti
  • Semasa
  • Sembur
  • Sensasi
  • Serantau
  • Sohor
  • Stadium
RELATED Stories for you
Semasa

Tragedi kepala air: Tiga selamat, seorang wanita

by VOKALIS 22/11/2026 44

SEORANG wanita berusia 21 tahun disahkan meninggal dunia dalam tragedi kepala air di Waterfall

Selebriti

19 lagu galau D’MASIV, penonton hanyut dalam

by VOKALIS 22/11/2026 15

BUKAN sekadar persembahan muzik, konsert jelajah Asia Home Run kumpulan popular Indonesia, D’MASIV membawa

Selebriti

Khadam ungguli FFM35, menang Filem dan Pengarah

by VOKALIS 22/11/2026 48

FILEM Khadam mencuri perhatian pada Festival Filem Malaysia Ke-35 (FFM35) apabila bukan sahaja dinobatkan

THE VOKAL THE VOKAL
About
© Copyright The Vokal 2026. All rights reserved.