“Apa kebaikan kau buat?” Saiful Nang sebak lihat lautan doa buat Kapten AA
DARIPADA golongan kenamaan hingga kanak-kanak, malah merentasi Malaysia, Singapura dan Indonesia, pemergian pengacara dan personaliti media sosial RARETV, Akhmal Asyraf atau Kapten AA mengundang limpahan doa daripada mereka yang mengenali serta mengikuti perjalanan hidupnya.
Situasi itu menyentuh hati sahabat baik Allahyarham, Saiful Nang yang menerusi satu luahan terbaharu meluahkan rasa kagum melihat begitu ramai insan mendoakan Akhmal ketika berada dalam keadaan kritikal di Oman.

Menerusi perkongsian tersebut, Saiful yang juga jurugambar terkenal, tertanya-tanya apakah kebaikan yang pernah dilakukan Akhmal sehingga begitu ramai orang daripada pelbagai latar belakang tampil mendoakannya.
“Apa amal kau buat dah @akhmal_asyraf satu Malaysia, Singapura dan budak-budak tahfiz Indonesia pun doakan kau.
“Segala Tengku, Datuk, Tan Sri, sampai ke makcik pakcik dan kanak-kanak mendoakan kau,” luahnya.
Malah, Saiful turut mengajak orang ramai mengimbas kembali dan berkongsi segala kebaikan yang pernah dilakukan atau ditunjukkan Akhmal sepanjang mengenalinya.
“Setiap kebaikan yang anda kenal tentang Kapten AA ialah satu doa untuk beliau bangkit kembali dari keadaannya sekarang.
“Tuliskan kebaikan AA dalam doa anda semua. Aku nak nanti kau baca apa yang peminat kau tulis pasal kau,” katanya.
Luahan itu menjadi gambaran penghargaan orang ramai terhadap Akhmal yang dikenali menerusi perkongsian kandungan kembara, dakwah dan pengembaraan di platform RARETV.
Namun, harapan untuk melihat Allahyarham kembali pulih tidak kesampaian apabila beliau disahkan meninggal dunia di Muscat, Oman, pada Khamis selepas mengalami jangkitan paru-paru.
Berita pemergian Akhmal disahkan keluarganya menerusi hantaran di platform Threads sebelum dikongsikan Saiful.
Menurut Saiful, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada pukul 6.58 petang waktu Oman, selepas Maghrib.
Adik Allahyarham, Amal Mohd turut berkongsi kesedihan kehilangan satu-satunya abang yang menjadi teman mereka membesar bersama, selain menyatakan keluarga reda dengan ketentuan tersebut.
Sebelum pemergiannya, Akhmal berada di Oman bersama pasukan produksi bagi menjalani penggambaran program Kembara Wahyu Ramadan 2027 yang dijadualkan berlangsung selama 14 hari.
Ketika berada di negara berkenaan, beliau dilaporkan mengalami demam sebelum disahkan menghidap jangkitan paru-paru.
Allahyarham pada mulanya mendapatkan rawatan di Hospital Nizwa sebelum dipindahkan ke Hospital Badr Al Samaa Royal di Muscat bagi rawatan lanjut.
Keadaannya dilaporkan semakin kritikal selepas mengalami kesukaran bernafas sehingga memerlukan prosedur intubasi dan ditidurkan.
Ketika insiden kesihatan itu berlaku, pasukan produksi dilaporkan berada pada hari keenam penggambaran.
Pemergian Akhmal pastinya meninggalkan ruang kosong buat keluarga, sahabat dan komuniti RARETV. But Namun, luahan Saiful memperlihatkan satu perkara yang cukup bermakna, iaitu kebaikan seseorang mampu terus dikenang melalui doa dan ingatan mereka yang pernah tersentuh dengan kehadirannya. – THE