Abang Rita Rudaini meninggal dunia selepas rebah ketika bertugas
ABANG kepada pelakon, Rita Rudaini iaitu Ahmad Musyaiful Mokhtar meninggal dunia pada jam 1.46 pagi Ahad ketika menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Allahyarham yang berusia 51 tahun difahamkan rebah ketika menyertai satu program membabitkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Kelana Jaya sebelum dikejarkan ke hospital.
Berita pemergian itu turut dikongsikan menerusi Instagram Melodi yang memaklumkan Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada awal pagi.
Dalam perkongsian sama, Rita dilihat tidak dapat menahan sebak ketika berada di sisi jenazah abangnya di hospital.
Jenazah Allahyarham dijangka dibawa pulang ke kampung halaman mereka di Kangar, Perlis untuk urusan pengebumian.
Bagaimanapun, setakat ini belum ada maklumat lanjut berhubung punca kematian Allahyarham.
Salam takziah buat Rita Rudaini sekeluarga. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman. – THE VOKAL
Sumber: Instagram Melodi