
Akhirnya Ernie Zakri Sendiri Nyanyikan Astana – Lega Perjuangkan Karya Sendiri
Penyanyi dan komposer Ernie Zakri sah bakal menyampaikan sendiri lagu Astana dalam pertandingan Semi Final Muzik-Muzik ke-38 esok.

Perkara itu disahkan menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan pihak Universal Music lewat petang ini.
Erni yang juga seorang guru vokal berkata, dia lega apabila dapat menyanyikan lagu Astana.
“Seperti yang diperkatakan sebelum ini, saya selaku penyanyi asal dan komposer lagu ini sudah tentu mahu menyanyikan lagu ini.

“Mana mungkin tidak. Malah, tidak pernah sekali saya berkata atau mengeluarkan kenyataan tidak mahu dan tarik diri.
“Jadi, selepas melalui proses perbincangan yang panjang antara semua pihak dan pihak Universal Music Malaysia pun tidak pernah menghalang saya untuk menyanyikan lagu ini, saya dengan penuh gembira akan menggalas sendiri tanggungjawab untukmempersembahkan lagu Astana.

“Terima kasih sekali lagi kepada pihak Universal Music Malaysia yang sentiasa memahami dan percaya akan bakat saya. Kepada peminat dan semua pihak yang sentiasa ambil berat, saya hargai sokongan anda,” katanya.
Sementara itu, Universal Music Malaysia yang mewakili Ernie berkata, perkara itu diputuskan selepas pihak Rocketfuel menghubungi mereka, semalam.
“Rocketfuel ada menghubungi kami untuk berbincang perkara ini. Selepas mengambil kira banyak perkara selain tidak mahu membiarkan isu ini berlanjutan, jadi Universal Music Malaysia bersetuju
dan membenarkan Ernie selaku penyanyi asal dan komposer lagu Astana untuk membuat persembahan.

“Berhubung terma perbincangan yang belum selesai antara pihak Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) dan Persatuan Penerbit Malaysia (MPA) dengan Media Prima Berhad, pihak RIM menyerahkan perkara ini kepada kami di Universal Music Malaysia untuk membuat keputusan. Ditambah lagu ini sudah pun dicalonkan sejak Februari.
“Pada masa sama, kami tidak mahu isu ini terus berpanjangan dan diperdebatkan Diharap pihak terbabit segera mencari solusi terbaik,” katanya
Terdahulu, nama penyanyi baru Nadeera diumumkan bakal menggantikan Ernie membawakan lagu berkenaan.

Lagu Astana adalah ciptaan bersama Ernie dengan Omar K, Syamel dan Syazriq Azeman yang tercalon ke Separuh Akhir Muzik-Muzik (SFMM) ke-38 seperti yang diumumkan pada majlis sidang media yang dianjurkan oleh TV3 pada 10 Disember lalu. – THE VOKAL