Anak Uji Rashid, Cico Harahap meninggal dunia
Pelakon Cico Harahap, anak kepada penyanyi legenda Uji Rashid, dilaporkan meninggal dunia di Hospital Ampang kira-kira pukul 11 pagi tadi.
Allahyarham yang nama sebenarnya Ezzaq Farrouq Harahap Jamaludin, 48, menghembuskan nafas terakhir selepas hampir seminggu menerima rawatan di hospital berkenaan akibat mengalami kesukaran bernafas.
Memetik laporan Harian Metro, berita pemergian pelakon itu disahkan Presiden Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM), Sandakiah Azez.
Menurut Sandakiah, keadaan Cico sebelum ini memerlukan pemantauan rapi sehingga beliau ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), sebelum dipindahkan ke wad biasa pada Khamis lalu.
Cico mula mengembangkan bakat dalam dunia lakonan pada 1993 menerusi filem Kekasih Awal dan Akhir.
Sepanjang penglibatannya dalam industri seni, Allahyarham membintangi beberapa filem popular termasuk Puteri Impian, Anak Mami The Movie, Mami Jarum, Kuliah Cinta dan Anak Mami Kembali.
Namanya turut dikenali menerusi watak Saiful dalam francais Anak Mami yang berjaya mencuri perhatian penonton.
Bagaimanapun, perjalanan seni Cico mula terjejas selepas berdepan masalah kesihatan serius pada penghujung 2016 sehingga menjejaskan keupayaan fizikal serta pertuturannya.
Sebelum ini, Uji pernah berkongsi mengenai ujian berat yang dilaluinya dalam menjaga anak tunggalnya itu, termasuk dakwaan Cico mula mengalami masalah kesihatan selepas menghadiri majlis sambutan hari jadi seorang kenalan pada 2016.
Pemergian Cico pastinya meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga, sahabat handai serta rakan-rakan industri seni yang pernah mengenali Allahyarham.