
Fahmi Fadzil Saran Giat Anjur Apresiasi Filem – Usaha Galak Mahasiswa Sokong Karya Tempatan
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memuji usaha Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang menganjurkan program berbentuk apresiasi filem bagi menyuntik semangat mahasiswa untuk menyokong filem tempatan.
Menurut Fahmi, memandangkan mahasiswa adalah penyambung legasi industri seni perfileman Malaysia, program seumpama itu perlu dipergiatkan.

“Setiap hasil seni yang dilahirkan merupakan penyumbang kepada industri kreatif tanah air dan ia merupakan hasil seni yang perlu kita hargai dan hayati intipatinya.
“Perjalanan menghasilkan filem bukan mudah. Apatah lagi filem yang berasaskan sejarah atau peristiwa masa silam .
“Oleh itu, harapan saya agar apresiasi ini akan dapat memberi sedikit ruang dan peluang untuk mahasiswa mendapat ilmu serta menambah pengetahuan dengan memahami sudut pandang artis serta idea dan pemikiran pembikin filem dalam filem yang disaksikan ini,” katanya pada Majlis Apresiasi Pagari Bulan (Filem Kita, Wajah Kita: Garapan Sejarah Dari Lensa Kreatif) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, baru-baru ini .

Majlis anjuran Pelajar Seminar Komunikasi Antarabudaya, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) UKM dengan kerjasama syarikat produksi Eleven Field Creative itu mendapat sokongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).
Menurut Fahmi, menerusi majlis apresiasi filem, ia akan dapat memberi peluang kepada mahasiswa memahami aspek pembikinan filem dengan lebih mendalam melalui perkongsian daripada artis, pembikin filem serta panel jemputan.
“Saya nampak usaha seperti ini agak baik dan kementerian melalui Finas akan terus bagi sokongan. Kalau boleh kita mahu adakan lebih banyak majlis apresiasi filem ini dengan menjelajah kampus-kampus universiti agar lebih ramai mahasiswa dapat menyertainya.
“Ada universiti mempunyai fakulti dalam bidang perfileman. Jadi, majlis apresiasi filem sebegini memang sesuai diadakan. Ia juga dapat memupuk hubungan pihak akademia dengan penggiat seni filem,”katanya.
Fahmi juga bersetuju dengan saranan agar Finas menganjurkan pertandingan filem pendek untuk mahasiswa.
“Pihak Finas belum mempunyai cadangan terhadap usul ini dan saya akan cuba cadangkan kepada mereka agar ia dapat dilaksanakan,” katanya.
Pada majlis sama, Fahmi berkongsi pengalamannya menghadiri majlis apresiasi filem sewaktu zaman mudanya serta mengakui ia telah menimbulkan minat mendalam terhadap filem. – THE VOKAL