Gardenia sahkan produk patuhi piawaian keselamatan makanan
Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd memberi jaminan bahawa produk keluarannya mematuhi spesifikasi keselamatan makanan yang ditetapkan susulan kebimbangan pengguna yang dibangkitkan baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook rasmi Gardenia, syarikat itu memaklumkan keputusan ujian makmal bebas yang bertauliah mengesahkan produk berkenaan memenuhi keperluan di bawah Akta Makanan 1983 serta peraturan berkaitan.

Menurut kenyataan itu, pihaknya turut menerima lawatan pemeriksaan daripada pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) berkaitan pada 10 November lalu.
Lawatan berkenaan merupakan sebahagian daripada siasatan yang sedang dijalankan susulan isu yang mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pengguna.

Gardenia berkata, pihaknya memberikan kerjasama sepenuhnya sepanjang proses pemeriksaan berkenaan, selain berpuas hati dengan prosedur operasi standard (SOP) serta amalan keselamatan makanan yang dilaksanakan oleh syarikat.
“Kami ingin memberi jaminan bahawa keselamatan makanan, kualiti produk serta kesejahteraan pengguna sentiasa menjadi keutamaan tertinggi kami,” menurut kenyataan tersebut.
Dalam masa sama, Gardenia menghargai kesabaran, pemahaman dan kepercayaan berterusan yang diberikan oleh pengguna, rakan niaga serta pihak berkuasa berkaitan.
Syarikat itu turut menegaskan komitmennya untuk terus memastikan aspek keselamatan makanan dan kualiti produk sentiasa diberikan perhatian.
Kenyataan berkenaan dikeluarkan susulan pelbagai persoalan dan kebimbangan pengguna yang timbul baru-baru ini membabitkan beberapa produk Gardenia. – THE VOKALĀ