Gardenia tetap di hati rakyat Malaysia berbilang kaum, netizen luah sokongan
Roti Gardenia terus mendapat tempat dalam kalangan pengguna tempatan apabila jenama berkenaan disifatkan sebagai antara pilihan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan latar belakang.
Perkara itu dapat dilihat menerusi pelbagai komen netizen yang menyuarakan sokongan terhadap Gardenia susulan perkongsian logo jenama roti berkenaan bersama tanda pagar atau kempen Buy Muslim First (BMF) di media sosial.
Rata-rata pengguna berkongsi pengalaman masing-masing yang sudah menjadikan Gardenia sebagai pilihan sejak bertahun-tahun, malah ada yang mengakui tidak bercadang menukar kepada jenama lain.
“Alhamdulillah, dah lebih 20 tahun makan roti Gardenia ini. Sedap, tak tukar lain dah,” tulis seorang netizen.
Seorang lagi netizen turut menggambarkan Gardenia sebagai jenama yang dekat di hati masyarakat Malaysia tanpa mengira kaum.
“Roti Gardenia tetap di hati rakyat Malaysia pelbagai kaum,” katanya.
Ada juga pengguna yang berkongsi pengalaman menikmati roti berkenaan setiap hari dan menyifatkannya sebagai antara produk yang sudah sebati dalam kehidupan mereka.
“Pagi petang aku makan roti Gardenia ini, okey saja. Dah bertahun-tahun,” tulisnya.
Dalam pada itu, terdapat netizen yang berharap Gardenia terus berkembang maju dan mengekalkan kedudukannya sebagai jenama pilihan pengguna.
” Saya doakan agar Gardenia terus maju. Ini cuma ada yang sakit hati kerana Gardenia ramai peminatnya dan produk Islam,” tulis seorang pengguna.


Malah, sebahagian komen turut mengaitkan sokongan terhadap jenama itu dengan usaha mengutamakan pembelian produk Muslim menerusi kempen BMF yang membawa maksud Buy Muslim First.
Terdahulu, baru-baru tular dalam media sosial terdapat pihak tertentu cuba menjejaskan kedudukan jenama berkenaan, namun dakwaan itu merupakan pandangan individu dan tidak disertakan bukti dalam perkongsian terbabit.


Secara keseluruhannya, reaksi tersebut memperlihatkan bagaimana kesetiaan pengguna terhadap sesuatu jenama turut dipengaruhi pengalaman, cita rasa dan kebiasaan yang terbina sejak sekian lama. – THE VOKAL
Kredit Foto: Gardenia Bakeries KL