
KKM Tidak Bercadang Laksana Semula PKP Ekoran Lonjakan Kes COVID-19
Tiada cadangan untuk melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau sekatan lain ketika ini ekoran lonjakan kes COVID-19, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Katanya, walaupun berlaku peningkatan mendadak kes namun keadaan semasa pandemik COVID-19 di Malaysia masih terkawal dan tidak membebankan fasiliti kesihatan.

Kredit Gambar: FB Live Kementerian Kesihatan
Tambah Dr Dzulkefly, fasiliti kesihatan ketika ini juga sentiasa bersedia untuk menghadapi sebarang kebarangkalian berhubung peningkatan kes COVID-19.
“Varian utama (COVID-19) ketika ini adalah Omicron dan yang lain adalah sub-varian di bawah Omicron. Tiada varian lain.
“Kita harap dapat melalui (peningkatan kes ketika ini) tanpa perlu melaksanakan semula PKP seperti pada awal pandemik dahulu. Kita sudah tidak bercakap mengenainya (sekatan),” katanya pada Sidang Media Khas Berhubung Status COVID-19 di Putrajaya, hari ini.

Kredit Gambar: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)
Sidang media khas itu turut disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook Kementerian Kesihatan (KKM).
Status terkini kes COVID-19 di Malaysia pada 10 hingga 16 Disember lepas merekodkan 20,696 kes baharu iaitu meningkat 62.2 peratus daripada minggu sebelumnya dengan 20,777 adalah kategori 1 dan 2 (ringan) manakala 619 pula kategori 3 hingga 5.
Sebanyak 28 kematian pula direkodkan untuk tempoh sama.

Kredit Gambar: Facebook Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad
Justeru kata Dr Dzulkefly, KKM melaksanakan lima strategi utama di bawah Pelan Pengurusan COVID-19 bagi menghadapi lonjakan kes ketika ini iaitu:
1. Pengesanan Awal Kes COVID-19 dan Varian SARS-CoV-2
2. Pemerkasaan Komuniti Melalui Amalan TRIIS (Test, Report, Isolate, Inform and Seek)
3. Pemantauan Fasiliti Kesihatan, Pengurusan dan Kawalan Kes COVID-19 terutama untuk melindungi Golongan Berisiko Tinggi
4. Pemerkasaan Komuniti melalui Komunikasi Risiko Yang Berkesan
5. Pendigitalan Sistem Kesihatan Dalam Pengurusan Pandemik Melalui Aplikasi MySejahtera
Mengulas mengenai vaksin COVID-19 pula, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata stok masih mencukupi setakat ini untuk mana-mana pihak khususnya golongan berisiko tinggi yang ingin mendapatkan dos penggalak.

Kredit Gambar: Facebook Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan
“Vaksin dos penggalak boleh didapati secara walk-in atau temujanji menerusi aplikasi MySejahtera. Kita bagi kemudahan untuk anda mendapatkan vaksin itu dan ia masih efektif untuk melindungi jangkitan COVID-19 ketika ini”, katanya. – THE VOKAL